Skip to main content

Malaysia

BRICS 2026: Anwar dijadual bertemu Modi, Putin dan Pezeshkian di New Delhi

NEW DELHI, 10 Sept - Bharat Mandapam menjadi tumpuan apabila persiapan akhir giat dilakukan menjelang Sidang Kemuncak BRICS ke-18 2026 yang akan berlangsung di New Delhi pada 12 dan 13 Sept ini. Pusat pameran dan konvensyen itu bakal menerima kehadiran pemimpin serta delegasi dari negara anggota dan negara rakan BRICS bagi sidang kemuncak dua hari berkenaan. Malaysia akan menyertai sidang kemuncak itu sebagai Negara Rakan BRICS, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadirinya. - fotoB
Antara pemimpin yang disahkan mengadakan pertemuan empat mata bersama Anwar di Bharat Mandapam termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Rusia, Vladimir Putin; serta Presiden Iran, Masoud Pezeshkian. - Foto BERNAMA
Advertisement

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan siri pertemuan dua hala berprofil tinggi bersama pemimpin utama dunia sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini, hujung minggu ini. 

Antara pemimpin yang disahkan mengadakan pertemuan empat mata bersama beliau di Bharat Mandapam termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Rusia, Vladimir Putin; serta Presiden Iran, Masoud Pezeshkian. 

Selain itu, Anwar turut dijadual mengadakan sesi dua hala bersama Presiden Kazakhstan, Perdana Menteri Ethiopia serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 

Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa berkata, siri rundingan berkenaan menjadi platform penting bagi Malaysia menyuarakan aspirasi Global South serta memperkukuh hubungan ekonomi pelbagai hala berlandaskan kerangka Humanity First (Kemanusiaan Diutamakan). 

"Penyertaan Malaysia membawa kerangka 'Humanity First' yang menekankan sistem antarabangsa yang lebih inklusif, saksama dan saling menguntungkan. 

"Platform ini juga mencerminkan komitmen berterusan Putrajaya terhadap dasar luar yang berprinsip, seimbang dan pragmatik tanpa memihak," katanya dalam sesi taklimat media di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini pada Khamis. 

Mengulas mengenai status Malaysia dalam blok berkenaan, Sharifah Ezneeda menjelaskan bahawa Malaysia kini bertindak sebagai 'Negara Rakan' dan kekal berhasrat untuk menjadi anggota penuh BRICS. 

Menurutnya, penglibatan fasa ini memberi ruang kepada Malaysia membiasakan diri dengan mekanisme dan ratusan mesyuarat sektoral BRICS sebelum melangkah ke status keahlian penuh. 

"Blok BRICS kini mewakili saiz pasaran kumulatif kira-kira 3.88 bilion penduduk dunia dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah USD29.85 trilion (kira-kira RM128.5 trilion), iaitu sekitar 27.1 peratus daripada ekonomi global. 

"Bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia, platform ini sangat strategik dalam meneroka peluang baharu perdagangan, keselamatan makanan, peralihan tenaga serta kerjasama inovasi teknologi," jelasnya. 

Mengenai hubungan dua hala Malaysia-India, Sharifah Ezneeda berkata India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP). 

Perdagangan dua hala merekodkan lonjakan 32.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh eksport minyak sawit dan produk berkaitan bernilai USD 2.77 bilion (RM11.9 bilion) pada 2025. 

Kementerian Luar dalam siaran media susulan memaklumkan,  India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan nilai perdagangan dua hala mencapai USD18.55 bilion (RM 79.33 bilion) pada tahun 2025.

Dalam lawatan kerja empat hari bermula 11 hingga 14 September ini, Perdana Menteri yang diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada 13 September. 

Selesai agenda di New Delhi, Anwar akan berlepas ke Keralam bagi mengadakan pertemuan bersama Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad serta pimpinan tertinggi kerajaan negeri tersebut bagi membincangkan kerjasama pendidikan, kesalinghubungan dan pelaburan.

Penganjuran lawatan kerja ini dijangka terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara, selain membuka peluang baharu untuk memperluas kerjasama berimpak tinggi dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi digital, serta pendidikan, di samping menyuburkan ikatan sesama rakyat secara lebih inklusif dan mampan.

Must Watch Video

Advertisement