Skip to main content

Malaysia

BRICS 2026: PM Anwar manfaatkan siri pertemuan dua hala pemimpin dunia, mantapkan kerjasama strategik

KERALAM (INDIA), 14 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata daripada Ketua Menteri Keralam V. D. Satheesan semasa pertemuan dengan pemimpin itu di Calicut hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA KERALAM (INDIA), Sept 14 - Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim receives a memento from Keralam Chief Minister V. D. Satheesan during their meeting in Calicut today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Siri lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India bukan sekadar memperkukuh penglibatan Malaysia dalam blok BRICS, malah menjadi medan strategik menerusi rangkaian pertemuan dua hala bersama barisan pemimpin dunia. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOZHIKODE: Siri lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India bukan sekadar memperkukuh penglibatan Malaysia dalam blok BRICS, malah menjadi medan strategik menerusi rangkaian pertemuan dua hala bersama barisan pemimpin dunia.

Bercakap pada sidang media penutup di Keralam petang ini, Anwar memperincikan pelbagai persetujuan konkrit yang berjaya dicapai sepanjang persidangan di New Delhi, merangkumi aspek perdagangan, pelaburan tenaga, automotif, hinggalah geopolitik serantau.

Dalam pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin sejurus tiba di New Delhi, Anwar memaklumkan kedua-dua negara bersetuju memantapkan laluan perhubungan udara dan kerjasama sektor tenaga.

"Sejurus selepas itu, malam pertama setelah tiba, saya dan rombongan menemui Presiden Vladimir Putin, dari Rusia, menguruskan hubungan dua hala yang baik, meningkatkan formula beberapa urusan, termasuk laluan pengangkutan udara, pelaburan.

“Dan (saya) mengucap terima kasih kerana keputusan Rusia membantu dalam bekerjasama dengan Malaysia dalam soal perolehan minyak dan gas. Dan ini diteruskan (dengan kerjasama) syarikat minyak Rusia dan Petronas," kata beliau.

Di peringkat serantau Asia Tenggara, Perdana Menteri berkata, hubungan akrab dengan Indonesia terus diperkukuh apabila Presiden Prabowo Subianto bersetuju untuk mengadakan lawatan rasmi dan pertemuan dua hala di Malaysia dalam tempoh terdekat.

"Dalam kesempatan pertemuan itu, saya ada beberapa perbincangan depan mata, ataupun dalam kesempatan sebelum sidang itu, bersama dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan dua hala, (dalam tempoh) satu atau dua bulan ini. Dicadangkan di Pulau Pinang dan kita akan menyambut beliau dan kita bincang juga tentang usaha meningkatkan perdagangan," jelas Perdana Menteri.

Menyentuh persiapan kepengerusian serantau, pertemuan Anwar bersama Presiden Filipina (Ferdinand Marcos Jr) turut membincangkan penjadualan semula beberapa agenda penting susulan pengesahan kehadiran Presiden Amerika Syarikat.

"Kemudian saya jumpa juga Presiden Filipina, yang kini menguruskan ASEAN, kita adakan beberapa persiapan dan langkah-langkah yang perlu, dan perubahan jadual itu sedikit kerana beliau memaklumkan bahawa Presiden Donald Trump juga akan hadir dalam sidang ASEAN di Manila," ujar beliau.

Sementara itu, dalam sektor automotif dan ekonomi di Asia Barat dan Afrika, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi menyatakan kebanggaan terhadap pengoperasian kilang pemasangan Proton di negara berkenaan dan sedia menjadikannya tapak peluasan pasaran serantau.

"Dengan Presiden Mesir, Abdul Fattah Sisi, itu saya adakan beberapa pertemuan yang panjang dengan dia. Pertama tentang kedudukan serantau, kedua tentang keperluan mengambil beberapa langkah tambahan untuk meningkatkan usaha dan pelaburan perdagangan.

“Saya ucap terima kasih kerana dia beri laluan untuk mengadakan industri Proton. Dia bangga dengan kejayaan Proton di Mesir, dan menggunakan itu sebagai satu tapak bagi industri Malaysia," kata Anwar.

Sepanjang sidang kemuncak tersebut, Anwar turut mengadakan sesi rundingan bersama Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian berhubung laluan penerbangan dan perdagangan, Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali, Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung mengenai pelaksanaan ASEAN Power Grid bersama Singapura, Perdana Menteri Uzbekistan, Abdulla Aripov, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr. Ngozi Okonjo-Iweala.

Isu kekejaman dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza turut diangkat secara tegas oleh Perdana Menteri dalam sesi bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ketika menyampaikan ucapan di pentas BRICS.

Perdana Menteri memuktamadkan lawatan kerja selama empat hari ke India (11 hingga 14 September 2026) yang merangkumi dua destinasi utama iaitu New Delhi dan Keralam. Sepanjang siri lawatan berkenaan, beliau diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan.

Selesai menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi serta menyertai siri libat urus ekonomi dan kepimpinan negeri di Keralam, Perdana Menteri meneruskan siri lawatan rasmi merentasi Lautan Hindi ke Malé, Maldives selama dua hari (14 hingga 15 September 2026).

Must Watch Video

Advertisement