KUALA LUMPUR: Parti-parti pembangkang menyatakan kesediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan akan menggerakkan jentera parti serta-merta, namun pada masa sama melahirkan rasa bimbang tentang risiko bencana banjir yang dijangka berlaku.

Bagi Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook pula, DAP menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, meski pun telah menyatakan pendirian bahawa pilihan raya umum tidak sesuai diadakan berikutan risiko banjir.

Katanya Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa), untuk membincangkan persiapan parti menghadapi PRU15 dan seluruh jentera pilihan raya DAP akan diaktifkan serta merta.

"DAP juga akan terus mendukung keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Ini supaya kerajaan negeri masing-masing boleh fokus untuk siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan pada Isnin, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dalam perkongsian di Twitter pula berkata parti itu akan melakukan yang terbaik dan kini tiba masanya untuk 'memecut', setelah beberapa bulan 'berlari-lari anak' (berkempen).

"Seperti saya selalu ulang, menang kalah Allah telah tetapkan. Yang penting, kita berusaha terbaik untuk terus bawa Malaysia ke landasan lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa kecewa mengenai pembubaran itu, sekali gus mempersoalkan perlu berkempen ketika musim banjir.

"Beribu-ribu rakyat Malaysia teruk terjejas akibat banjir yang tidak henti-henti ini. Dalam tempoh 10 hari lepas sahaja, sudah banyak kawasan yang dilanda bencana banjir," katanya menerusi Facebook beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Marzuki Yahya berkata Pejuang berhasrat meletakkan calon parti itu bertanding atas nama Gerakan Tanah Air (GTA), namun terpaksa tampil dengan perancangan lain memandangkan GTA ketika ini belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Kami (Pejuang) semua di bawah GTA, calon kami adalah calon GTA. Kini saya rasa mungkin satu dua hari ini, kita mahu buat keputusan kerana GTA masih belum diluluskan lagi, jadi kami perlu gunakan pilihan kedua," katanya yang juga Ketua Setiausaha GTA ketika dihubungi.

Biarpun tidak menyangka keputusan kerajaan berkenaan pembubaran Parlimen, Marzuki bagaimanapun berkata Pejuang dan GTA bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU15.

GTA merupakan gabungan yang ditubuhkan pada 4 Ogos lepas, dengan keanggotaan parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta terbaharu pada Isnin, Gagasan Bangsa Malaysia turut mengumumkan kerjasama dengan GTA.

-- BERNAMA