Edaran bubur lambuk dilihat antara platform yang memperkukuh semangat kejiranan selain mengeratkan persaudaraan sesama mereka dalam bulan Ramadan.

Pengarah Biro Perhubungan dan Korporat Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM), Muhamad Hanis @ Hans Azman Atar berkata, ia sekali gus medium terbaik merapatkan hubungan silaturahim antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penduduk.

"Kita mahu menjadikan acara ini sebagai program tahunan bagi merapatkan jurang antara golongan memerlukan agar tidak tersisih melalui program kebajikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Penyelaras DUN Sijangkang, Rosnizan Ahmad, Ahli Majlis MPP Zon 4 MDKL, Siti Nor Eaini Nasuka, Ahli Majlis MPP Zon 3 MDKL, Norhaninawati Mohd Yusof dan Pengurus Besar IJM Land Bandar Rimbayu Sdn Bhd, Tuan Zaihan Che Haron

Program Edaran Bubur Lambuk Makanan Warisan Mega Selangor 2019 yang diadakan di IJM Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor itu merupakan anjuran Persatuan Asnaf, Usahawan, Wanita dan Ibu Tunggal Selangor (Pantas), MPP Zon 3 Majlis Daerah Kuala Langat, dan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang.

Ia mendapat kerjasama IJM Bandar Rimbayu, Eco World Sanctuary, Tropicana Aman, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor.

Program itu turut disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dalam pada itu, Penaung Pantas, Shelliza Saharudin berkata, program itu mensasarkan kira-kira 3,000 penerima daripada penduduk sekitar, golongan golongan berpendapatan rendah (B40), asnaf, usahawan wanita dan ibu tunggal.

Sepanjang Ramadan, pelbagai juadah tradisi yang enak disediakan termasuklah bubur lambuk.

Ia merupakan bubur nasi yang dimasak dengan pelbagai rempah, santan dan hirisan daging.
Lazimnya, ia menjadi hidangan pilihan untuk berbuka puasa.

Kebiasaannya juadah tersebut hanya akan dimasak, diedarkan dan dinikmati di sepanjang bulan tersebut.