KUALA LUMPUR: Polis menahan pasangan suami isteri kerana disyaki mendera dua kanak-kanak di sebuah kondominium di Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya menerima laporan orang awam mengenai seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera cuba keluar dari bangunan empat tingkat melalui tingkap untuk melarikan diri, pada 4.40 petang.

Katanya, polis telah hadir ke tempat kejadian dan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyelamatkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu yang berada di dalam rumah seorang diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera.

"Sehubungan itu, polis menahan ibu saudara mangsa dan suaminya masing-masing berusia 33 tahun dan 29 tahun. Hasil siasatan juga mendapati wanita tersebut merupakan adik kepada ibu kandung mangsa dan tiada rekod jenayah lampau manakala suaminya bekerja sebagai seorang pemandu e-hailing dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Saringan air kencing juga mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, polis turut mengesan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang merupakan adik kepada mangsa.

Polis turut mendapati terdapat kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan.

"Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa.

"Difahamkan, kedua-dua mangsa tinggal dengan pasangan itu sejak dua tahun selepas bapa kandung mereka meninggal dunia kerana ibu kandung tidak mahu menjaga dua mangsa ini.

"Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada 17/09/2022 untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," jelasnya.

Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebih RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.