AMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya Ampang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, maklumat kejadian diterima pihaknya pada jam 7.45 petang.
"Siasatan awal mendapati mangsa telah jatuh dari tingkat 13 dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa dikatakan berada di rumah bersendirian ketika kejadian.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis telah mengambil keterangan lima individu termasuk ibu bapa mangsa.
Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - Sinar Harian