Puspakom sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memberi laporan dan butiran pemeriksaan terhadap bas yang terbabit dalam kejadian budak maut akibat jatuh ketika memijak lantai bas yang jerlus di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan, pada Khamis.

Dalam satu kenyataan malam ini, Puspakom berkata, laporan yang disediakan pihaknya dapat membantu pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam menjalankan siasatan berkenaan insiden tersebut dengan lebih mendalam.

"Seperti prosedur yang biasa, Puspakom akan bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM memeriksa bas tersebut dari segi teknikal pada masa terdekat ini.

"Ketika ini, kes masih dalam siasatan," katanya sambil melahirkan rasa kesal dan mengucapkan takziah kepada keluarga Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12 tahun.

Murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang, itu ketika kejadian dipercayai berdiri bersama-sama rakan di dalam bas di sebelah hadapan berhampiran tangga, dan kemudian terjatuh di jalan raya selepas lantainya jerlus.

Kejadian jam 12.50 tengah hari itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu.

BACA: JPN Kelantan siasat kes murid digilis bas

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Azmir Damiri, mangsa yang sebelum itu bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu secara tiba-tiba melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas, dan terus terjatuh ke bawah bas disebabkan lantainya reput.

Katanya, mangsa adalah salah seorang daripada 31 murid Tahun 6 sekolah itu yang berada dalam bas tersebut ketika kejadian.