BUDI95: 300 liter cukup bagi kegunaan biasa - Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Johan bercakap dalam temu bual baru-baru ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Berdasarkan data kerajaan, kuota subsidi petrol sebanyak 300 liter yang disediakan di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencukupi untuk kegunaan peribadi biasa, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Ringkasan AI
- Kuota subsidi petrol 300 liter di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencukupi untuk kegunaan peribadi biasa, dengan purata penggunaan rakyat hanya sekitar 80 liter sebulan dan kurang 0.1% pengguna menghabiskan kuota penuh.
- Kerajaan menjangka penjimatan fiskal sekitar RM2.5 bilion setahun hasil rasionalisasi subsidi, yang akan disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, termasuk mengurangkan ketirisan dan penyeludupan.
- Sistem BUDI95 menunjukkan prestasi baik dengan hampir tiga juta transaksi harian dan lebih 12 juta rakyat Malaysia telah membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter sejak pelaksanaannya pada 27 September.
"Sebenarnya, rakyat Malaysia secara individu hanya menggunakan purata kira-kira 80 liter sebulan. Setakat ini, data yang kami peroleh menunjukkan (kuota itu) mencukupi, tetapi kami akan terus memantau keadaan," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 dalam tempoh dua minggu pertama Oktober 2025, kurang daripada 0.1 peratus rakyat Malaysia yang layak telah menghabiskan kuota subsidi 300 liter masing-masing.
Menurutnya jumlah itu adalah kecil, oleh itu masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kuota 300 liter itu tidak mencukupi.
Johan menekankan bahawa sekiranya kuota itu dinaikkan, tindakan berkenaan mungkin membuka ruang kepada lebih banyak ketirisan subsidi petrol termasuk aktiviti penyeludupan oleh penduduk tempatan.
"Apabila dianalisis, golongan yang telah menggunakan sepenuhnya kuota itu termasuk mereka yang mengisi petrol di negeri-negeri sempadan.
"Daripada jumlah pengguna yang telah memanfaatkan 300 liter ini, lebih 80 individu yang hanya mempunyai lesen motosikal telah menghabiskan kuota 300 liter ini.
"Ini menunjukkan bahawa mereka menggunakan motosikal lebih 500 kilometer setiap hari dalam tempoh dua minggu pertama Oktober," kata Johan.
Program BUDI95 telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September yang menyaksikan semua rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, mempunyai MyKad dan lesen memandu yang aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan kelayakan bulanan sehingga 300 liter.
Johan berkata sistem BUDI95 memperlihatkan prestasi yang baik setakat ini dengan purata hampir tiga juta transaksi setiap hari.
Lebih 12 juta rakyat Malaysia telah membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi sistem BUDI95.
Penjimatan Disalurkan Kepada Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat
Sementara itu, Johan menegaskan bahawa kerajaan akan menyalurkan anggaran penjimatan fiskal sebanyak RM2.5 bilion daripada rasionalisasi subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95 kepada perbelanjaan pembangunan dan inisiatif kebajikan.
Beliau berkata pendekatan subsidi bersasar yang diguna pakai oleh kerajaan bukan semata-mata langkah untuk mengurangkan kos tetapi untuk memastikan dana awam digunakan dengan lebih cekap bagi memenuhi keutamaan pembangunan negara.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata isi rumah Malaysia hanya menyumbang kira-kira 78 peratus daripada penggunaan RON95 berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
"Daripada 18 bilion liter yang digunakan pada setiap tahun, terdapat hampir empat bilion liter yang bukan digunakan oleh isi rumah, berkemungkinan digunakan oleh syarikat, warga asing atau sebahagiannya diseludup keluar.
"Oleh itu, 20 peratus inilah yang menyumbang kepada penjimatan. Sekiranya kita ambil 20 peratus daripada subsidi RON95 sebanyak RM20 bilion yang ditanggung oleh kerajaan pada 2023 dan 2024, anda akan meraih penjimatan kira-kira RM4 bilion berdasarkan harga minyak yang lebih tinggi," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion setahun berdasarkan harga minyak semasa tahun ini iaitu kira-kira US$60 setong (US$1 = RM4.23).
Johan berkata pendekatan subsidi bersasar ini pada akhirnya akan memperlihatkan bahawa kerajaan melaksanakan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, yang pastinya akan membantu memberikan keyakinan kepada pelabur.
"Oleh itu, kerajaan sedang mengimbangi antara pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan memastikan sokongan fiskal yang mencukupi kepada ekonomi bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, menjana peluang perniagaan serta membantu menyediakan pekerjaan dan peluang pendapatan kepada rakyat," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami