MALAYSIA
BUDI95: Rakyat Malaysia layak subsidi RON95, pemandu e-hailing dikecualikan had

Perdana Menteri Anwar mengumumkan rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95.
Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Menurut beliau, kerajaan memutuskan semua warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi RON95.
"Kerajaan memutuskan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95. Seperti langkah penghargaan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada menikmati subsidi RON95," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi September 2025 di Dewan De'Seri Endon, Puspanitapuri, Presint 10, di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan menerusi insiatif BUDI95.
Beliau berkata, bagi bukan warganegara pula, RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
"Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
"Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60," katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan warga polis, tentera nikmati subsidi RON95 RM1.99 seliter bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September bagi mengelakkan kesesakan.
Dalam masa sama, Anwar turut mengingatkan orang ramai untuk menyemak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah bagi penggunaan BUDI95.
"Tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi. Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.
"Disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi," katanya.
Perdana Menteri turut menyenaraikan harga minyak seliter di beberapa negara antaranya, Arab Saudi (RM2.61), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).
"Saya nak jelaskan, di kalangan negara kita termasuk negara pengeluar minyak, kita masih di antara yang paling rendah. Cuma yang lebih rendah sedikit daripada kita adalah Brunei," kata beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami