KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berkata sekarang, bukan masa sesuai untuk menyemak semula tarif elektrik, terutamanya bagi sektor perkilangan.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata walaupun persekutuan itu menghargai lanjutan selama setahun yang menyaksikan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dikekalkan sepanjang 2021, "Banyak industri masih dalam kedudukan tidak stabil ketika mereka pulih daripada pandemik COVID-19."

"Pada masa ini, industri sedang bergelut dengan harga inflasi membabitkan hampir semua kos perniagaan dan kemudiannya, terpaksa menangani kenaikan harga tenaga, yang juga akan memberi kesan ke atas kos barangan lain, terutama bahan mentah yang boleh melonjakkan inflasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Sekiranya kos operasi terus meningkat, pengilang mungkin perlu membuat beberapa pelarasan kepada kos operasi mereka seperti meningkatkan harga produk, yang merupakan pilihan terakhir disebabkan oleh pasaran yang kompetitif atau strategi rasionalisasi kos lain yang membabitkan pengurangan perbelanjaan pentadbiran dan kakitangan, termasuk membekukan pengambilan pekerja yang akan menjejaskan usaha pemulihan perniagaan," tambahnya.

Beliau menegaskan keupayaan "pengeluar untuk menyerap kos operasi yang lebih tinggi dalam tempoh yang sangat sensitif seperti sekarang adalah sangat terhad."

FMM mengulangi bahawa sebarang kajian tarif asas juga harus menangani subsidi silang yang lama dalam kategori tarif elektrik ke arah mewujudkan lebih banyak kecekapan dan kelestarian tenaga di negara ini.

"Pertimbangan sewajarnya harus diberikan kepada syarikat intensif tenaga tetapi cekap termasuk syarikat yang telah melabur dalam inisiatif kecekapan serta tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

FMM memohon kepada kerajaan "untuk menangguhkan sebarang kenaikan tarif elektrik sehingga kekangan rantaian bekalan global telah reda dan harga komoditi kembali normal disebabkan sektor pembuatan, yang membentuk kira-kira 37 peratus daripada jualan elektrik TNB, turut berdepan dengan cabaran lain dalam menyokong pemulihan mereka termasuk kekurangan tenaga kerja, kekangan eksport disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan serta banyak lagi".

"FMM juga menyeru tarikh kuat kuasa apa-apa semakan tarif untuk mengambil kira tempoh yang akan diberikan kepada industri, terutamanya pengeksport, agar mereka dapat membuat penjajaran dengan sewajarnya," tambah Thian Lai.

-- BERNAMA