MALAYSIA
'Bukan pesta gay tetapi program kesedaran kesihatan HIV' - Dr Dzulkefly

Kenyataan Dr Dzulkefly itu sebagai maklum balas kepada hantaran yang meminta beliau untuk mempertahankan program kesedaran HIV berkenaan. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan program diserbu polis Kelantan yang didakwa mempunyai kaitan agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual (LGBTQ) merupakan program kesedaran kesihatan melibatkan Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Ringkasan AI
- KKM sahkan program yang diserbu polis Kelantan ialah program kesedaran HIV, bukan agenda LGBTQ seperti didakwa, dianjurkan oleh NGO Sahabat di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
- Program bertujuan tingkatkan literasi kesihatan dan lindungi populasi berisiko, seperti isteri dan anak pesakit HIV, selaras dengan dasar kesihatan yang ambil kira nilai agama dan budaya.
- Polis serbu perjumpaan lebih 100 lelaki di sebuah banglo, namun beberapa NGO menolak dakwaan program itu berkaitan agenda seksual, dan nyatakan ia fokus kesihatan awam dan intervensi awal.
Kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu sebagai maklum balas kepada hantaran yang meminta beliau untuk mempertahankan program kesedaran HIV berkenaan.
Melalui hantaran sama, Dr Dzulkefly turut kongsikan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berhubung program tersebut.
Dr Zaini berkata, aktiviti itu dijalankan oleh Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat) yang beroperasi di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan amat penting dalam usaha mendekati populasi berisiko tinggi bagi menyampaikan pengetahuan berkaitan strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal serta manfaat rawatan awal dalam mengelakkan komplikasi serius.
“Pendidikan kesihatan juga penting bagi meningkatkan literasi kesihatan dan melindungi individu yang mempunyai hubungan rapat seperti isteri dan anak-anak yang berisiko dijangkiti HIV,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Isnin.
Selain itu, Dr Dzulkefly turut menegaskan usaha KKM dalam memastikan pendekatan kesihatan awam mengutamakan pencegahan penyakit, intervensi awal dan akses kepada rawatan untuk semua.
Menurutnya, ia selaras dengan dasar kesihatan negara yang mengambil kira nilai keagamaan dan sensitiviti budaya.
“Sebagai sebuah NGO kesihatan, Sahabat merupakan rakan strategik penting kepada JKN Kelantan dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti ‘outreach’ yang menyasarkan populasi berisiko tinggi, termasuk penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM),” ujarnya.
Sebelum ini, Polis Kelantan pada Khamis memaklumkan pihaknya menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bahru pada pertengahan Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas.
Beberapa NGO menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan penganjuran program berkenaan bertujuan memberikan kesedaran berkaitan kesihatan seksual dan HIV. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami