Skip to main content

Malaysia

Bukan tugas kerajaan nasihat mahasiswa, tetapi lindungi kebebasan mereka - Adam Adli

Tanggungjawab bagi kerajaan adalah untuk kita pastikan dasar-dasar kita tidak menindas kebebasan bersuara, ujar Adam Adli. - Foto Astro AWANI
Tanggungjawab bagi kerajaan adalah untuk kita pastikan dasar-dasar kita tidak menindas kebebasan bersuara, ujar Adam Adli. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan bertanggungjawab memastikan dasar tidak menindas kebebasan bersuara mahasiswa, bukan menasihati cara mereka menyuarakan pandangan.
  • Semua prosiding tatatertib universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, kritikan awam dan perhimpunan aman dihentikan serta-merta.
  • Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menyediakan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan AUKU, merangkumi autonomi universiti dan hak mahasiswa.

KUALA LUMPUR: Peranan kerajaan bukan utuk menasihati mahasiswa mengenai cara mereka menyuarakan pandangan, sebaliknya bertanggungjawab memastikan dasar yang dilaksanakan tidak menindas kebebasan bersuara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, berkata mahasiswa mempunyai pertimbangan sendiri dalam menentukan tindakan berdasarkan akal dan nilai yang dipegang mereka.

“Saya rasa apa tindak-tanduk pelajar itu berdasarkan kepada akal dan juga nilai yang dipegang oleh pelajar sendiri.

“Bukan tugas kerajaan untuk nasihat para pelajar. Yang menjadi tanggungjawab bagi kerajaan adalah untuk kita pastikan dasar-dasar kita tidak menindas kebebasan bersuara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu pemberitai selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Adam Adli menjawab pertanyaan sama ada mahasiswa perlu dinasihati supaya tidak bertindak terlalu agresif susulan keputusan kerajaan menghentikan prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara.

Menurutnya, perkara itu bukan sekadar melibatkan kebebasan mahasiswa, tetapi turut mencerminkan prinsip yang dipegang pihak universiti, kementerian dan kerajaan sendiri.

Terdahulu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri turut memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menyediakan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Kerangka baharu itu merangkumi autonomi universiti, kebebasan akademik serta hak mahasiswa.

Mengulas lanjut, Adam Adli berharap usaha pemansuhan AUKU dan pengenalan undang-undang baharu yang lebih komprehensif dapat dimulakan dengan segera.

Must Watch Video

Advertisement