Bukit Merah mungkin akan diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan situasi paras air di empangan Bukit Merah, Perak kini berada pada tahap kritikal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan untuk melakukan pengisytiharaan itu, jika air di empangan berkenaan terus kekal kritikal dalam tempoh dua hari ini.

Jelas Zambry, kesan daripada pemendapan tanah di tasik tertua negara itu merupakan antara faktor yang menyebabkan keadaan paras airnya kritikal.



Keadaan di Tasik Bukit Merah
Keadaan di Tasik Bukit Merah yang kini berada di tahap kritikal. - Astro AWANI


"Kami sedang mengkaji beberapa langkah kemungkinan yang perlu dibawa ke Majlis Keselamatan Negeri untuk pengisytiharaan kawasan berkenaan. Namun perkara ini perlu diperhalusi dalam beberapa hari,"katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Vasakhi 2016 di Ipoh pada Ahad.

Setakat ini, menurutnya lagi, keadaan paras air di empangan berkenaan mencatatkan sedikit peningkatan sejak malam semalam akibat taburan hujan di beberapa kawasan berdekatan.

Namun, katanya, kerajaan negeri tetap akan meneruskan pemantuan secara teliti kerana keadaan paras air di tasik itu boleh memberi kesan buruk kepada pesawah-pesawah di sekitar 5,000 hektar kawasan berkenaan.