KUCHING: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak bakal dilaksanakan Sabtu ini di Tebingan Kuching dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan (JaPeN) Sarawak, majlis itu adalah kesinambungan kepada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Julai lepas.

"Bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', aktiviti utama yang telah dirangka adalah Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia, pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) dan penyerahan Jalur Gemilang," kata kenyataan itu.

Aktiviti Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia akan dipimpin oleh Abang Johari dengan berkonsepkan aktiviti berjalan kaki beramai-ramai dalam suasana kekeluargaan, santai dan diraikan dalam suasana harmoni sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Abang Johari juga akan menyempurnakan pelepasan KMKM2022 melibatkan penyertaan JaPen Sarawak dan rakan strategiknya, agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta wakil Komuniti Keluarga Malaysia.



KEBANGSAAN-SARAWAK (PELANCARAN) 2 (AKHIR) KUCHING



Konvoi KMKM2022 ini akan melalui perjalanan kira-kira 4,025 kilometer (km) bermula dari Km 0.0 Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di Telok Melano di selatan negeri ini sehinggalah ke Lawas di utara yang melibatkan 37 perhentian sebelum berakhir pada 31 Ogos di Betong bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak.

Pelbagai aktiviti menarik turut dirancang untuk program pelancarannya di Tebingan Sungai Sarawak yang antaranya termasuk Zumba Keluarga Malaysia, permainan Dam Ular Gergasi serta Kuiz.

Orang ramai juga boleh bersama-sama menzahirkan kecintakan mereka negara melalui platform media sosial dengan berkongsi gambar berkaitan aktiviti kenegaraan sambil menyertakan hashtag #KeluargaMalaysiaTeguhBersama #TeguhBersama #KeluargaMalaysia #KKOMM #HKHK2022 #Merdeka360 di laman media sosial masing-masing.

Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, JaPen Sarawak juga akan menganjurkan pertandingan Klik@Merdeka, Bintang Patriotik Smule, Bintang Patriotik Aspirasi Keluarga Malaysia, Bintang Patriotik RIUH, Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, Pengisahan Kenegaraan, ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge dan Sayembara Sajak Merdeka.

"Banyak hadiah menarik menanti peserta untuk dimenangi dan bagi mengetahui maklumat lanjut rakyat Malaysia boleh melayari portal Merdeka 360 termasuk laman Facebook rasmi Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA