MALAYSIA
Bung Moktar akui Zizie Izette tidak pernah beritahu mengenai 'wang pengenalan'

Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengaku di Mahkamah Sesyen di sini bahawa isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai 'introduction fee' (wang pengenalan) yang diterimanya daripada dua ejen pelaburan Public Mutual berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah itu.
Bung Moktar, 65, saksi pembelaan pertama itu berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette pada perbicaraan membela diri pasangan suami isteri itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Kumaraendran: Setuju dengan saya dalam kes ini Datin Seri Zizie Izette tidak pernah memberitahu 'introduction fee' (wang pengenalan) yang diterima daripada dua ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.
Bung Moktar: Betul.Kumaraendran: Setuju dengan saya, kamu hanya mengetahui perkara ini apabila dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bung Moktar menjawab, betul.
Pada 27 Jan 2022, semasa kes perbicaraan pada peringkat pendakwaan, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon wanita itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenalkan suaminya (Bung Moktar) untuk Felcra membuat pelaburan berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, Pengerusi BN Sabah itu turut mengakui isterinya tidak memberitahu atau meminta nasihat daripada beliau mengenai pelaburan yang ingin dibuat oleh pelakon wanita berkenaan.
Bung Moktar turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Zizie Izette tidak pernah memberitahu pendapatan beliau, malah isterinya juga tidak perlu menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga.
Kepada soalan peguam Kumaraendran mengenai Zizie Izette tidak terlibat terutamanya dalam cara mendapatkan kelulusan Felcra Berhad atau Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah itu dan Bung Moktar menjawab setuju.
Bung Moktar juga bersetuju dengan peguam itu bahawa Zizie Izette tidak bersubahat dengan beliau menerima sebarang wang daripada Norhaili atau Madhi dan bersetuju dengan cadangan peguam yang isterinya itu tidak terlibat dalam apa-apa urusan rasmi Felcra.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung petang ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami