TEHRAN: Iran mendakwa kapasiti pengeluaran senjatanya kini mencukupi untuk memenuhi keperluan sebuah peperangan yang berlarutan dan berpanjangan, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu, Reza Talaei-Nik.
Dalam wawancara dengan televisyen negara, Talaei-Nik berkata sistem pengeluaran ketenteraan Iran ketika ini mampu menyokong operasi ketenteraan dalam tempoh yang lama tanpa menjejaskan bekalan senjata.
Beliau berkata pengeluaran senjata sepanjang tempoh perang meningkat kepada dua setengah kali ganda berbanding sebelum konflik bermula.
Menurutnya, Iran telah lebih awal menyediakan lokasi pengeluaran alternatif yang selamat bagi memastikan operasi ketenteraan tidak terganggu.
"Pengeluaran ketenteraan tidak pernah terhenti walaupun sehari," katanya.
Talaei-Nik turut memaklumkan kira-kira 9,000 syarikat telah secara sukarela menyertai usaha pengeluaran ketenteraan sepanjang tempoh konflik.
Beliau berkata kakitangan Kementerian Pertahanan turut bekerjasama dengan pasukan pelancar peluru berpandu, unit dron serta pasukan tentera laut dan udara bagi menambah baik sistem persenjataan berdasarkan pengalaman di medan perang dan ancaman semasa.
Menurutnya, pengalaman operasi ketenteraan digunakan untuk menaik taraf senjata dan peralatan pertahanan agar lebih berkesan menghadapi cabaran baharu.
Talaei-Nik berkata keutamaan Iran ketika ini adalah memenuhi keperluan pertahanan domestik terlebih dahulu sebelum meningkatkan pengeluaran bagi tujuan eksport.
"Kami akan memenuhi keperluan kami terlebih dahulu dan pada masa akan datang akan menambah lebihan pengeluaran untuk eksport," katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran terus memperkukuh keupayaan pertahanannya di tengah-tengah ketegangan serantau yang berterusan dan peningkatan tumpuan terhadap program pengeluaran senjata negara tersebut.