Perbicaraan kes melibatkan seorang wanita berusia 42 tahun yang didapati bersalah kerana membunuh, ditetapkan pada 26 November oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh perbicaraan selama lima hari itu apabila kes itu dibuka untuk pengurusan semalam.

Beliau juga menetapkan 19 Mac untuk pengurusan kes seterusnya.

Chan Lay Lee didakwa pada 10 Mac 2017 kerana membunuh pembantu rumahnya, Jubedah, 38 tahun, warga Indonesia, di sebuah rumah bernombor 35, Lebuhraya Jelutong di sini antara jam 11 pagi hingga 4.45 petang, 25 Feb tahun lalu.

Dia berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Suri rumah didakwa bunuh pembantu rumah warga Indonesia

Chan turut berdepan pertuduhan di mahkamah berasingan dakwaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah yang boleh menyebabkan kematian dengan menggunakan batang besi terhadap Anad, 22 tahun, seorang wanita warga Kemboja.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi sama pada jam 11 pagi antara Julai 2016 hingga 28 Feb lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Datuk V Sithambaran.