Bunuh ejen insurans, polis rekod keterangan tiga saksi

Azizee (empat dari kanan) merasmikan Majlis Peluncuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidariti di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, George Town, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis sudah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang ejen Insurans sebelum mayatnya disumbat dalam bagasi dan diletakkan di belakang flet Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai, pada 9 Oktober lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek, namun, setakat ini tiga saksi sudah diambil keterangan termasuk saksi yang menemui kereta dan juga mayat mangsa di tempat kejadian .
"Dari segi siasatan, kita sedang mengesan suspek. Setakat ini tiga orang (sudah diambil keterangan)... kita masih giat jalankan pengesanan dan berharap dalam masa terdekat kita dapat kenal pasti dan tangkap (suspek)," kata Azizee.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, pada Jumaat.Dalam perkembangan berkaitan, Azizee berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan mangsa dibawa ke sebuah bank sebelum dilaporkan hilang.
Pada 9 Oktober lepas, media melaporkan penemuan mayat ejen insurans, Lee Boon Han, 31, oleh seorang pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira jam 1.43 tengah hari.
Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat itu ditemukan dalam beg dengan keadaan leher cedera, tangan diikat dan kepala diserkup menggunakan plastik.
Punca kematian mangsa adalah kerana sesak nafas berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Peluncuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidariti yang akan diadakan di negeri itu pada 3 Januari 2026.
Seramai 3,000 peserta dijangka menyertai acara berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami