KUANTAN: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kejadian menyayat hati di Taman Cerating Damai di sini dituntut keluarga untuk urusan pengebumian selepas proses bedah siasat selesai kira-kira jam 2.30 petang pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, jenazah pertama dibawa keluar kira-kira jam 2.50 petang.
Advertisement
Empat van jenazah yang membawa jenazah keluarga terbabit beredar dari pekarangan HTAA kira-kira jam 3.10 petang diiringi kenderaan polis.
Jenazah dibawa ke Masjid Cerating untuk diuruskan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Cerating untuk dikebumikan.
Jenazah pengawal keselamatan berusia 32 tahun dan isterinya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, telah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HTAA pada Selasa.
Proses bedah siasat ke atas tiga lagi jenazah mangsa terdiri ibu suspek, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dan dua anak perempuan, Saffiyah Humairah, 5, dan Sumayah Humairah, 2, dijalankan hari ini.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam menyayat hati disyaki dibunuh di sebuah rumah di Taman Cerating Damai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pengawal keselamatan terbabit serta isteri, selain ibu dan dua anak perempuan berusia dua dan lima tahun ditemui maut.
Suspek dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri hingga maut. - Sinar Harian
