BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian di kawasan semak di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kedua-dua lelaki berusia 50-an dan 60-an ditahan sewaktu sedang mendapatkan rawatan di Hospital Bukit  Mertajam dan di perkarangan Klinik Kesihatan Berapit.

Chen San berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu mendapatkan rawatan akibat kecederaan dipercayai berkaitan dengan kejadian bunuh mangsa yang berusia 70-an.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki kira-kira jam 7.45 petang Selasa.

"Pihak polis menerima maklumat awam yang menemui seorang lelaki terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di kawasan semak berkenaan.

"Sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui lelaki disyaki warga tempatan terbaring dengan darah berlumuran di tubuhnya.

"Pemeriksaan mendapati mangsa maut ditempat kejadian akibat luka parah disyaki telah ditikam menggunakan senjata tajam," kata Chen San dalam kenyataan hari ini.

Chen San berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku disebabkan rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa sehingga berlaku pergaduhan yang mengakibatkan kematian.

Semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan narkotik manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.