MALAYSIA
Bursa Malaysia akan buat cadangan susulan insiden penggodaman broker

Bulan lepas, beberapa broker mengesan aktiviti akses serta perdagangan yang tidak dibenarkan untuk beberapa akaun urus niaga dalam talian. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd akan mengeluarkan cadangan menjelang akhir September atau awal Oktober berikutan insiden penggodaman pada 24 Jun lepas. kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Fad'l Mohamed hari ini.
Bulan lepas, beberapa broker melaporkan kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bahawa mereka telah mengesan aktiviti akses serta perdagangan yang tidak dibenarkan untuk beberapa akaun urus niaga dalam talian.
Penggodam ini dilaporkan menyasarkan akaun tanpa akses perdagangan dalam talian serta kelulusan, yang mana urus niaga untuk akaun tersebut biasanya memerlukan pelaksanaan melalui firma pembrokeran masing-masing.
"Kami secara serta-merta menyelesaikan insiden ini tetapi saya fikir apa patut dilakukan ialah membuat semakan yang lebih komprehensif mengenai kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan bursa itu bagi separuh pertama berakhir pada 30 Jun 2025.Fad'l berkata Bursa Malaysia telah menubuhkan sebuah kumpulan kerja industri, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Pengawalseliaannya, Julian M. Hashim untuk melihat dalam beberapa bidang yang perlu ditangani daripada segi kerangka teknologi dan pengawalseliaan.
"Inilah langkah pertama yang telah kami buat. Pada masa yang sama, kami turut memulakan bimbingan dan nasihat.
"Kami telah memberi mandat kepada organisasi peserta kami untuk memastikan bahawa pengesahan pelbagai faktor telah disediakan sebelum akhir tahun bagi membantu mengurangkan keadaan sedemikian," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami