MALAYSIA
Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi semalaman Wall Street

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.07 peratus atau 1.12 mata kepada 1,520.91 daripada 1,519.79 ketika ditutup pada Rabu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, menjejaki prestasi bercampur-campur semalaman Wall Street dalam persekitaran pasaran yang berhati-hati, kata seorang penganalisis.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi dengan FBM KLCI naik sedikit, disokong oleh pembelian institusi tempatan dan kemasukan dana asing meskipun pasaran kekal berhati-hati akibat ketidaktentuan di Timur Tengah.
- Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh harapan penurunan kadar faedah di AS selepas kenyataan berhati-hati oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell.
- Prestasi saham bercampur-campur dengan beberapa saham wajaran tinggi mencatat kenaikan kecil, manakala kaunter aktif menunjukkan pergerakan harga yang pelbagai.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 140 berbanding 132, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,911 kaunter tidak diniagakan dan 102 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 112.85 juta unit bernilai RM64.10 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila pelabur membuat pertimbangan berdasarkan kepada perkembangan semasa di Timur Tengah dan sama ada gencatan senjata yang sedia ada akan bertahan lama.
Beliau berkata harapan penurunan kadar faedah juga menyokong sentimen selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengekalkan sikap berhati-hati dalam kenyataan terbarunya.
Di peringkat tempatan, Thong berkata FBM KLCI telah menyaksikan pembelian saham oleh institusi tempatan serta kemasukan dana asing dalam sesi dagangan baru-baru ini.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati memandangkan perkembangan di Timur Tengah masih tidak menentu. Kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran dalam julat 1,515-1,525 hari ini," katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Malayan Banking dan Tenaga Nasional meningkat masing-masing dua sen kepada RM9.81 dan RM14.26, CIMB menambah tiga sen kepada RM6.80, mankala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.30 and RM6.70.
Bagi kaunter aktif, Pan Merchant yang membuat penampilan pertama di Pasaran ACE, merosot 3.5 sen kepada 23.5 sen, SNS Network dan Reservoir Link jatuh dua sen masing-masing pada 54 sen dan 20.5 sen, Dataprep and Solution Group pula naik 0.5 sen masing-masing kepada 10 sen dan 10.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.66 mata kepada 11,356.22, Indeks FBMT 100 naik 7.26 mata kepada 11,135.66, Indeks FBM Emas Shariah menambah 5.48 mata kepada 11,307.26, Indeks FBM 70 menokok 6.49 mata kepada 16,236.59, bagaimanapun Indeks FBM ACE susut 8.75 mata kepada 4,450.22.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.27 mata kepada 17,690.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan melonjak 0.09 mata kepada 150.30, Indeks Perladangan naik 5.09 mata kepada 7,235.28 dan Indeks Tenaga bertambah 1.27 mata kepada 729.38.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami