MALAYSIA
Buruh bebas tuduhan bunuh ibu tunggal, rakan lelaki

Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan buruh M Jaykumar (kiri) daripada tuduhan membunuh seorang ibu tunggal dan rakan lelakinya di Skudai tujuh tahun lalu. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang buruh daripada tuduhan membunuh seorang ibu tunggal dan rakan lelakinya di sebuah flat di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini, tujuh tahun lepas.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan M Jaykumar daripada tuduhan membunuh seorang ibu tunggal dan rakan lelakinya di Taman Ungku Aminah pada 2018 kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
- Tiada bukti kukuh seperti kesan darah atau DNA yang mengaitkan tertuduh dengan kematian mangsa, dan barang kemas yang dijual tidak dapat disahkan milik si mati.
- Pendakwaan gagal menyokong teori bahawa tertuduh adalah individu terakhir bersama mangsa, kerana saksi menyatakan mangsa masih hidup selepas waktu yang didakwa.
Hakim berhujah mahkamah turut menimbangkan tiada kesan darah si mati dijumpai pada pakaian atau barangan lain tertuduh dan pegawai penyiasat tidak mengambil pakaian atau barangan lain milik tertuduh bagi mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua si mati.
"Pendakwaan gagal membuktikan sama ada barang kemas yang dijual di pajak gadai oleh tertuduh milik Kamala selain anak Kamala dalam keterangan juga tidak dapat mengesahkan sama ada barang kemas tersebut milik ibunya. Terdapat keraguan apabila masih terdapat barang kemas bersama Kamala.
"Pendakwaan cuba bergantung kepada teori tertuduh orang terakhir bersama si mati. Merujuk ini pendakwaan memilih 31 Oktober lebih kurang 7 malam hingga 1 November lebih kurang 3 pagi.
"Mengikut saksi, Kamala pada 11.50 malam masih bercakap melalui telefon. Bagaimana pendakwaan memilih 7 malam sedangkan si mati masih hidup. Mahkamah ini berpendapat tanpa keterangan yang lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan kedua-dua si mati," hujah hakim.
M.Jaykumar, 39, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian K.Kamala, dan S.Silvaraja,di Flat Jalan Hang Jebat 14, Taman Ungku Aminah antara 7 malam hingga 3 pagi pada 31 Oktober hingga 1 Nov 2018.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sebanyak 20 saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan M.Jaykumar diwakili peguam Datin Freda Sabapathy dan K.Sarawanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami