KANGAR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan beberapa agensi lain akan sentiasa melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan berterusan di tapak-tapak projek pembinaan yang memiliki kapasiti pekerja yang meragukan, jika dibandingkan dengan keluasan tapak projek.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim menyatakan, ia bagi memastikan tidak timbul masalah membabitkan penggajian secara tidak sah selain salah guna tenaga yang membawa kepada isu yang lebih besar iaitu buruh paksa.

Beliau turut menggesa kesemua majikan untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 atau Akta 446 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ia bagi memastikan negara tidak lagi terpalit dengan isu buruh paksa yang dimomokkan oleh pihak luar sehingga menyebabkan beberapa produk tempatan disekat daripada dieksport ke luar negara.

"(Pemantauan hari ini), pekerja bagi kedua-dua tapak binaan yang telah kita buat operasi pada pagi ini agak meragukan jika dibandingkan dengan keluasan tapak binaan, dan (kita telah arahkan) pegawai penyiasat kita buat siasatan terperinci.

"Untuk contoh nyata, tapak yang kita buat operasi tadi (iaitu) tapak binaan klinik dan binaan bangunan untuk shopping center, saya tengok bangunan kedai tujuh tingkat tetapi pekerja hanya seramai 30 orang (itu meragukan).

"Perkara ini seperti ini kita sentiasa tangani bagi elakkan penggajian secara tidak sah dan salah guna tenaga, ini kerana situasi sebegini boleh bawa kepada isu buruh paksa," ujar beliau.

Awang berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan operasi melibatkan pematuhan Akta 446 di sekitar Kangar dan Arau pada Jumaat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penguatkuasaan Akta 446, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 40,597 pemeriksaan ke atas majikan telah dilaksanakan melibatkan sejumlah 171,420 buah penginapan seluruh negara sehingga 15 Februari 2022.

Sementara itu, pihaknya juga telah menerima sebanyak 13,939 aduan melalui aplikasi Working for Workers melibatkan majoriti kes berkaitan gaji tidak dibayar atau lewat dibayar serta majikan membuat pemotongan upah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Tambahnya, sehingga ke hari ini, sebanyak 1,192 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta 446 terhadap majikan dalam pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai kesalahan yang 135 daripadanya telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen melibatkan jumlah denda sebanyak RM979,000.

Selain itu, 846 kertas siasatan lagi telah diberi izin kompaun yang melibatkan tawaran sebanyak RM10,268,000.

Awang turut memaklumkan bahawa pihaknya sehingga kini telah mengutip jumlah kompaun terhadap majikan melibatkan Akta 446 sebanyak RM4,272,000.