KUALA LUMPUR: Polis merampas seekor burung pemangsa spesies Black-winged Kite (Elanus caeruleus) dianggarkan bernilai RM100,000 dalam satu serbuan di Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Selangor semalam.
Burung yang disyaki dipelihara tanpa lesen itu dirampas dalam Ops Bersepadu Khazanah oleh Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Komander PSP SAC Rosli Md Yusof berkata seorang lelaki berusia 21 tahun turut ditahan dalam operasi di sebuah kediaman pada kira-kira 9.40 malam itu.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi memiliki, menyimpan atau memelihara hidupan liar berkenaan semasa pemeriksaan dilakukan.
“Rampasan spesies ini dipercayai antara kes pemilikan Black-winged Kite yang jarang dilaporkan dalam operasi penguatkuasaan hidupan liar di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi PSP hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata status sama ada ia merupakan rampasan pertama seumpamanya masih memerlukan pengesahan berdasarkan rekod rasmi Perhilitan.
Rosli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), manakala suspek dibebaskan dengan jaminan bagi membolehkan Perhilitan Selangor melengkapkan siasatan.
Katanya, Black-winged Kite merupakan spesies burung pemangsa daripada keluarga Accipitridae yang mempunyai taburan semula jadi luas, khususnya di Afrika dan kawasan tropika Asia, selain turut ditemui di beberapa bahagian Eropah.
“Spesies ini mudah dikenali melalui warna badan putih dan kelabu, tanda hitam pada bahagian sayap serta mata berwarna merah. Ia lazimnya mendiami kawasan lapang dan memburu haiwan kecil terutamanya tikus,” katanya.
Beliau berkata kejayaan operasi itu merupakan hasil perkongsian maklumat dan kerjasama erat antara PDRM dengan Perhilitan dalam usaha membanteras aktiviti pemilikan serta eksploitasi hidupan liar secara tidak sah.
Katanya, PDRM melalui PSP akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Perhilitan serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
"Sebarang maklumat mengenai aktiviti pemilikan, penyeludupan atau perdagangan hidupan liar secara haram akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA