Skip to main content

Malaysia

Cadangan gaji graduan bermula RM2,500 perlu diteliti - Ameer Ali

Ameer Ali Mydin berkata, walaupun kenaikan gaji penting bagi membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, pelaksanaannya perlu mengambil kira skop pekerjaan, tahap kemahiran serta produktiviti pekerja. - Gambar fail
Ameer Ali Mydin berkata, walaupun kenaikan gaji penting bagi membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, pelaksanaannya perlu mengambil kira skop pekerjaan, tahap kemahiran serta produktiviti pekerja. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan penetapan gaji RM2,500 bagi graduan baharu perlu disokong mekanisme pelaksanaan yang jelas bagi mengelakkan ketidakseimbangan struktur gaji, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, walaupun kenaikan gaji penting bagi membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, pelaksanaannya perlu mengambil kira skop pekerjaan, tahap kemahiran serta produktiviti pekerja.

Menurut beliau, penetapan gaji berdasarkan kelayakan akademik semata-mata berisiko menimbulkan masalah apabila graduan baharu menerima gaji setara atau lebih tinggi berbanding pekerja sedia ada yang mempunyai pengalaman dan memegang jawatan tertentu.

“Kalau pekerja yang sudah menerima gaji RM2,300 berasa selesa, kemudian graduan baharu masuk dan menerima gaji yang sama, keadaan ini boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pekerja sedia ada.

“Majikan akhirnya perlu mempertimbangkan pelarasan gaji secara menyeluruh, bukan hanya untuk pekerja yang terlibat dengan kadar gaji minimum,” katanya dalam temu bual khas dalam rancangan Fokus Minggu Depan bersama Astro AWANI. 

Menurutnya, isu ketidakpadanan kemahiran (skill mismatch) antara kelayakan graduan dengan keperluan industri turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian.

Malah, beliau berpandangan kesukaran graduan mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan akademik menunjukkan keperluan untuk menyelaraskan kemahiran tenaga kerja dengan permintaan pasaran.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa penguatkuasaan tanpa mengambil kira perbezaan fungsi pekerjaan dan kemampuan majikan boleh menambah tekanan kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai sumber kewangan lebih terhad berbanding syarikat besar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kenaikan gaji tidak boleh diketepikan memandangkan kegagalan menyesuaikan pendapatan dengan peningkatan kos sara hidup akan terus menghakis kuasa beli pekerja.

Katanya, peningkatan kos buruh juga boleh mendorong majikan mempercepat penggunaan automasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti serta mengawal perbelanjaan operasi.

“Apabila kos meningkat, majikan perlu mencari jalan untuk menjadi lebih produktif. Antaranya melalui automasi dan penggunaan AI. Jika tidak, tekanan kos akan terus meningkat,” katanya. 

Pada Jumaat lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.

Must Watch Video

Advertisement