SHAH ALAM: Cadangan penubuhan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk menasihati Parlimen mengenai hal berkaitan pentadbiran kerajaan akan mengganggu dan menggugat sistem demokrasi negara.

Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie Al-Yahya berkata, ini kerana Parlimen memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, menurut beliau, ia harus beroperasi secara bebas, tanpa campur tangan pihak luar.

Pada Khamis, media melaporkan, Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga membentuk apa yang dinamakan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea dan syor ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

BACA: Nazir Razak, 54 tokoh cadang wujudkan "Better Malaysia Assembly" 

BACA: Syed Saddiq sokong tubuh Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik 

Kumpulan ini yang bakal berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun akan membentangkan syor atau cadangan tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara kita harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.

Syed Hamzah turut membangkitkan tujuh persoalan kepada pihak yang mencadangkan perkara tersebut:

1. Mengapa mahu wujudkan platform elit untuk reset negara? Adakah Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang direstui oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang dipilih oleh rakyat negara ini tidak cukup kuat?

2. Kalau pemilihan Ahli Majlis ini melalui penglibatan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, maka atas jaminan apa bahawa ahli ini bebas daripada komposisi parti politik? Kalau perkara ini berlaku, maka sebaiknya perkukuhkan sahaja peranan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).

3. Bukankah negara sudah ada Majlis Pemulihan Negara yang diiktiraf oleh Parlimen yang kini sedang rancak merancang dan merangka cadangan pemulihan negara. Jadi, apa perlu kita tubuh satu majlis atau kaukus lain pula yang peranannya jelas bertindan? Majlis Pemulihan ini juga 90 peratus dianggotai oleh professional non-partisan. Bahkan peranan dan tugasan majlis ini hampir sama dengan Majlis Pemulihan Negara. Kalau mahu maka kita perkasakan lagi Majlis Pemulihan Negara ini daripada wujudkan yang baharu.

4. Dengan cuba melibatkan Majlis Raja-Raja dengan urusan pentadbiran negara dan urusan Parlimen secara langsung melalui arahan penubuhan Majlis ini bukankah ini sudah melanggar prinsip asas Raja Berperlembagaan negara ini?

5. Apa rasionalnya cadangan ini diangkat terus dan secara khalayak kepada Yang Di-Pertuan Agong sedangkan kita tahu Seri Paduka Baginda adalah ketua tertinggi, pelindung dan payung perlembagaan dan rakyat jelata. Tidakkah dengan mencadangkan secara langsung dan terbuka sebegini adalah langkah tidak beradab kepada Seri Paduka Baginda yang telah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai memandu negara?

6. Budaya elit ini kalau dibiarkan untuk diamalkan maka bukankah akan membuka ruang kepada rakyat untuk melibatkan Seri Paduka Baginda dan institusi beraja kepada konflik pentadbiran negara oleh semua pihak di pelbagai peringkat pada masa akan datang? Patutkah budaya baharu yang hendak diwujudkan oleh golongan elit ini harus dihentikan demi memelihara kesucian institusi beraja kita?

7. Kalau Majlis ini tiada kuasa eksekutif dan tidak diikat dengan mana-mana kuasa eksekutif seperti yang dicadangkan, maka perlu apa disembah kepada Seri Paduka Baginda dan perlu apa melibatkan Majlis Raja-Raja? Silakan saja Majlis ini bersidang dan hantarkan usul dan cadangan mereka langsung kepada Perdana Menteri, kerajaan, semua ahli Parlimen, Majlis Pemulihan Negara. Atau paling senang jadikan saja usul mereka sebagai manifesto pilihan raya dan bertanding saja dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dengan agenda reset mereka sebagai manifesto parti baharu. Bukankah ini cara yang paling sah kalau mahu terlibat dengan urusan pentadbiran negara di Malaysia?


Artikel asal di Sinar Harian