SHAH ALAM: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengangkat cadangan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak bersama 54 individu yang lain untuk menubuhkan ‘Better Malaysia Assembly’ atau Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik.

Menurutnya, Malaysia perlu bangun dengan rombakan progresif kepada sistem negara terutamanya pada pembentukan dasar, reformasi dan kenegaraan.

“Kumpulan yang menyokong ‘Better Malaysia Assembly’ adalah terdiri daripada ahli-ahli yang berpengalaman dan bukannya calang-calang.

“Antara 54 individu yang menyokong ‘Better Malaysia Assembly’ adalah Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Nur Qyira Yusri, Dr Khor Swee Kheng, Vinesh Sinha, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak, Nadhir Ashafiq dan beberapa lagi golongan bijak pandai yang mahu menyumbang untuk negara.

“Ia adalah pendekatan yang boleh diambil kira dalam merangka jalan Malaysia ke hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

BACA: Better Malaysia Assembly: Time for a New Reset

BACA: Tubuh majlis musyawarah untuk beri cadangan kepada Parlimen - Nazir Razak

Mengulas lanjut, Syed Saddiq percaya dengan semangat, idea dan pengalaman daripada ahli-ahli perhimpunan tersebut dapat menyelesaikan punca akar yang telah lama membelenggu negara ini.

Tambahnya, negara hanya boleh berdiri jika rakyat bersatu padu dan sebulat suara.

Beliau akan sentiasa berusaha untuk membawa Malaysia lebih maju dengan politik yang lebih demokratik, ekonomi lebih dinamik dan sosial yang lebih harmoni.


Artikel asal di Sinar Harian