Cadangan menaikkan kadar cukai taksiran pintu sekitar ibu kota bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik yang mememenuhi kehendak warga kota.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata cadangan itu perlu dilihat secara positif oleh semua pihak terutama warga kota.

Beliau berkata tugas dan tanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan juga terletak di tangan rakyat dan cadangan kenaikan cukai itu adalah sebagai pelaburan untuk kepentingan bersama.

"Kita kena faham cabaran untuk mengurus bandar-bandar ini memerlukan kewangan yang besar dan rakyat juga setiap tahun mahukan penambahbaikan, perkhidmatan yang lebih baik. Semua ini memerlukan kewangan.

"Dalam usaha kita membentuk Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang mampan, yang boleh dibanggakan, ia bukan hanya melibatkan kerajaan tetapi mesti memerlukan penglibatan rakyat, terutama penduduk Kuala Lumpur," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antrabangsa 'Challenges of Extended Mega Urban Regions: The Changing Face of South East Asia & the World' di sini hari ini.

Abdul Rahman juga mahu warga kota menerima hakikat bahawa cukai itu tidak dinaikkan selama 21 tahun.

"Kerajaan hanya menaikkan cukai kerana kami melihat semua aspek. Kenaikan cukai itu boleh kami laburkan semula untuk perkhidmatan yang lebih baik bagi penduduk Kuala Lumpur.

"Rakyat Malaysia mesti faham bahawa kerajaan tidak mampu untuk memberikan semua perkhidmatan dalam bentuk subsidi atau percuma. Kos telah meningkat berkali-kali ganda," katanya.