KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah badan bebas bagi mengambil tindakan dan menyiasat semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua badan penguatkuasaan adalah satu berita baik buat rakyat Malaysia, sekiranya ia benar-benar berjaya direalisasikan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kewujudan badan bebas berkenaan berkait dengan isu keyakinan orang ramai terhadap penyelesaian kepada setiap aduan yang dibuat mereka.

"Penubuhan badan bebas ini adalah satu jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat, diteliti dengan bebas seterusnya membenarkan tindakan boleh diambil terhadap pihak bertanggungjawab (agensi penguatkuasaan).

"Ia sebenarnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh semua dan saya berharap Jabatan Peguam Negara akan menyegerakan pelaksanaan kajian semula dan menubuhkan badan bebas ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, negara ketika di bawah pimpinan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah mencadangkan penubuhan sistem Ombudsman dengan berorientasikan model yang diwujudkan di New Zealand, iaitu sebuah sistem dengan ciri-ciri yang sama seperti badan bebas.

Pada 2018, Perdana Menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan hal sama, katanya.

"Dan kini, Perdana Menteri (ke-10) Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencadangkan penubuhan badan bebas ini... ia sangat penting kerana kita tidak boleh mengharapkan kepada agensi penguat kuasa untuk menyiasat pegawainya sendiri," kata Lee.

Tidak menafikan perlu wujudnya ketelusan dalam penyiasatan terhadap sesebuah agensi penguatkuasaan, penganalisis undang-undang, perlembagaan, kerajaan dan hak asasi Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar bagaimanapun berkata penubuhan badan bebas berkenaan tentunya akan mengambil masa yang lama.

Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sekali gus mencadangkan supaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ketika ini bertanggungjawab menyelia laporan dan aduan terhadap agensi penguat kuasa kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkasakan terlebih dahulu.

"EAIC perlu diperkukuhkan lagi memandangkan bidang kuasanya yang luas namun mempunyai sumber terhad. Kemampuannya perlu ditambah baik dari segi pegawai, fasiliti dan kewangan.

"Namun, sebenarnya tidak boleh untuk sewenang-wenangnya menubuhkan sesebuah badan bebas kerana setiap agensi kerajaan mempunyai suruhanjaya perkhidmatannya yang tersendiri. Ia perlu dilakukan dengan cermat agar tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan tidak mengganggu autonomi perkhidmatan awam sedia ada," katanya.

Beliau berkata selain itu SPRM yang ketika ini di bawah Jabatan Perdana Menteri juga perlu diberi perhatian serius dengan dipertimbangkan syor agar agensi berkenaan diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, sekali gus mematikan dakwaan berlakunya pendakwaan terpilih oleh badan tersebut.

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim pula menyarankan agar sebuah formula dicipta terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca berlakunya ketirisan, salah laku dan isu-isu lain melibatkan agensi penguatkuasaan sebelum badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkenaan.

"Rasuah misalnya akan tetap berlaku kalau kita tiada petunjuk yang akan merendahkan persepsi orang ramai terhadap jabatan kerajaan. Kenal pasti formula dengan melihat kepada punca, kenapa dan mengapa ia berlaku, apakah ruang dan peluang yang wujud berlakunya masalah tersebut.

"Sebelum tubuh badan bebas untuk terus nak jalankan siasatan, lebih baik tubuhkan badan bebas untuk kaji semua agensi penguatkuasaan yang berlaku ketirisan... kumpulkan laporan apakah kelonggaran, kelompongan yang boleh berlaku di setiap agensi penguatkuasa ini," katanya.

Anwar pada Selasa ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata beliau meminta Peguam Negara mengkaji semula cadangan agar diwujudkan badan bebas dalam mengambil tindakan dan menyiasat semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua badan penguatkuasaan.

Beliau berkata ini bagi memastikan badan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan SPRM yang terlibat dalam kes salah laku, tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.

Anwar berkata cadangan penubuhan badan bebas berkenaan ketika ini dilihat wajar kerana ia lebih menyeluruh dan boleh mengambil tindakan terhadap semua aduan membabitkan badan pengkuatkuasaan.

-- BERNAMA