Ringkasan AI
- Kerajaan akan memasukkan keperluan maklumat operasi pusat data dalam undang-undang untuk memantau penggunaan elektrik dan jumlah cip GPU yang diimport.
- Pengendali pusat data perlu menentukan kapasiti elektrik sebenar bagi mengelakkan pembaziran dan caj ke atas kapasiti tidak digunakan.
- Kementerian Digital sedang menyemak undang-undang berkaitan eksport semula cip GPU yang tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat.
KUALA LUMPUR: Keperluan mengemukakan maklumat operasi pusat data, termasuk penggunaan elektrik dan jumlah cip unit pemprosesan grafik (GPU) yang dibawa masuk, akan dimasukkan dalam undang-undang bagi membolehkan kerajaan memantau operasi pusat data, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata kerajaan perlu mengetahui maklumat pengendali dan syarikat teknologi berskala besar bagi setiap pusat data serta lokasi pusat data berkenaan.
Johari berkata sebanyak 55 daripada 117 projek pusat data yang diluluskan setakat ini telah mula beroperasi dan pemantauan perlu diteruskan selepas kelulusan diberikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih MySaham MITI di sini hari ini.
Mengenai bekalan elektrik, Johari berkata pengendali pusat data perlu menentukan kapasiti yang benar-benar diperlukan memandangkan pembekal perlu memperuntukkan kapasiti yang dipersetujui dalam perjanjian bekalan.
“Sebagai contoh, jika sesebuah pusat data menempah kapasiti 100 megawatt (MW) tetapi hanya menggunakan 50 MW, baki 50 MW yang tidak digunakan itu juga akan dibilkan,” katanya.
Johari berkata langkah itu bertujuan mengurangkan tempahan kapasiti elektrik yang mungkin hanya akan digunakan antara satu hingga tiga tahun kemudian.
Beliau semasa ditemui pemberita selepas itu berkata Kementerian Digital sedang menyemak sama ada undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap eksport semula cip GPU yang tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat (AS).
“Bagaimanapun pada masa ini, apabila AS mengenakan sekatan, sebagai sebuah negara, kita mahu memastikan bahawa setiap cip yang tiba di sini adalah untuk kegunaan kita sendiri,” katanya.
Menurut Johari sebelum ini terdapat pihak yang menyewa ruang di pusat data di Malaysia dan mengimport cip GPU namun mengeksport semula cip itu selepas dibawa masuk.
“Jika mereka (AS) memerlukan pengesahan, mereka sentiasa boleh merujuk kepada kerajaan Malaysia supaya kita boleh mengesahkannya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan boleh memberikan maklumat mengenai lokasi pusat data yang akan menggunakan cip berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata MySaham MITI diperkenalkan untuk memudahkan pelabur bumiputera mendapatkan maklumat dan menguruskan perkara berkaitan Saham Khas Bumiputera (SKB).
“Melalui aplikasi ini, kita mahu memperluas akses kepada peluang penyertaan dalam pemilikan ekuiti korporat negara.
“Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara digital,” katanya.
Beliau berkata tumpuan MITI ialah memudahkan urusan pengguna, meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat dan memastikan proses permohonan yang lebih teratur.
-- BERNAMA