Kementerian Kesihatan memberi pertimbangan serius untuk memperkenalkan skim insurans penjagaan kesihatan yang dikendali dan disokong oleh kerajaan untuk menangani kelemahan dalam sistem penjagaan kesihatan swasta, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata skim insurans kesihatan kerajaan adalah secara sukarela dan merupakan pilihan kepada sistem penjagaan kesihatan swasta yang pada masa ini digunakan oleh lebih 50 peratus rakyat Malaysia.

"Masih terlalu awal untuk saya beritahu anda pelbagai perkara seperti struktur skim dan sebagainya. Saya hanya menyatakannya sebagai suatu konsep dan akan menghuraikan lebih lanjut selepas pihak berkaitan membincangkannya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Subramaniam turut menegaskan bahawa langkah untuk memperkenalkan skim insurans penjagaan kerajaan seperti itu tidak bermakna kerajan berhasrat untuk menamatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan awam sedia ada.

"Kerajaan masih bertanggungjawab kepada orang ramai dalam menyediakan sistem penjagaan kesihatan awam yang kini digunakan setiap orang. Sistem penyampaian penjagaan kesihatan awam akan diteruskan dan tidak akan berubah," jelas beliau.

Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan telahpun mengkaji konsep skim insurans penjagaan kesihatan kerajaan sejak beberapa bulan lepas dan menganalisis cabaran yang perlu didepani dalam melaksanakan skim seperti itu.

Katanya cadangan untuk memperkenalkan skim insurans penjagaan kesihatan kerajaan dibangkitkan setelah kementerian itu menyedari bahawa satu daripada cabaran bagi rakyat Malaysia adalah membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan wang daripada poket mereka sendiri.

"Situasi ini boleh mengakibatkan mereka terperangkap dalam masalah kewangan. Jadi skim insurans penjagaan kesihatan kerajaan mungkin merupakan jawapan kepadanya," katanya.

Pada sidang akhbar sama, Subramaniam berkata Malaysia menjadi tuan rumah kepada delegasi dari 27 negara yang menghadiri Mesyuarat Rangkaian Pembelajaran Bersama Global yang diusahakan oleh Bank Dunia yang berlangsung di Putrajaya sejak Rabu dan berakhir semalam.

Mesyuarat itu merupakan pentas bagi pelbagai negara untuk berkongsi pandangan, pendapat masalah dan cabaran yang mereka hadapi dalam menyampaikan sistem penjagaan kesihatan di negara masing-masing.