Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak sepenuhnya sebarang cadangan untuk memotong gaji penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata cadangan sedemikian tidak wajar dan tidak kena pada waktunya.

“Cuepacs memandang serius laporan media (bukan Astro AWANI) mengenai cadangan itu dan berasa kesal, justeru kami membantah cadangan tersebut sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau merujuk laporan sebuah portal yang mendakwa Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mencadangkan supaya gaji penjawat awam dipotong untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam menghadapi COVID-19.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kenyataan sedemikian boleh menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam dan melunturkan semangat mereka.

“Krisis yang dihadapi negara pada hari ini bukanlah perkara yang diingini oleh semua rakyat termasuk yang bergelar penjawat awam.

“Ramai penjawat awam masih lagi menjalankan tugas seperti biasa. Mereka yang berada di barisan hadapan tetap menjalankan tugas tidak kira hujan atau panas dan terdedah kepada risiko jangkitan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Adnan mengingatkan semua pihak agar tidak mempertikaikan sedikit kemudahan yang diberikan kepada penjawat awam ketika semua rakyat di negara ini diminta untuk bersatu.

“Cuepacs berharap penjawat awam terus fokus dengan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara berjaya mengekang sepenuhnya penularan virus ini,” katanya.