BARCELONA: Cadangan Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula sebagai sebuah platform untuk penjawat awam mendapat pembelaan, hendaklah dibincangkan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) terlebih dahulu.

Jurucakap Kerajaan MADANI Fahmi Fadzil berkata ini kerana sebarang perkara berkaitan perkhidmatan awam perlu dirujuk kepada kedua-dua pihak itu untuk diteliti.

"Jadi kita mungkin boleh teliti perkara ini dan perlu serahkan kepada KPPA dan KSN," katanya kepada Bernama dan RTM ketika ditemui di sini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke "Mobile World Congress" Barcelona 2024 yang bermula Isnin ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan itu yang dibangkitkan Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia susulan isu penurunan pangkat Datuk Dr Ammar Abd Ghapar daripada Ketua Pengarah kepada Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Tribunal Penjawat Awam pernah ditubuhkan di bawah Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977 oleh kerajaan dan antara peranannya ialah menimbang tara sesuatu pertikaian membabitkan pihak yang berkenaan selepas keputusan gagal dicapai di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

-- BERNAMA