KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tukar duit raya yang semakin mendapat sambutan menjelang Hari Raya Aidilfitri boleh menjurus kepada amalan riba sekiranya dikenakan caj yang tidak menepati syarak.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad al-Hukum Siri ke-950, hukum mengenakan caj bagi pertukaran duit raya adalah haram jika melibatkan pertukaran wang dengan tambahan nilai yang tidak dibenarkan.
Advertisement
Ia menjelaskan, keadaan tersebut berlaku apabila seseorang menukar wang dalam jumlah tertentu dan kemudian menawarkan pertukaran semula kepada orang lain dengan caj tambahan, yang dikategorikan sebagai riba.
Selain itu, pertukaran wang juga wajib berlaku secara serta-merta dalam satu majlis tanpa sebarang penangguhan.
"Sebagai contoh, jika seseorang memberikan wang RM100 untuk ditukar kepada wang pecahan tetapi hanya menerima wang tersebut pada hari berikutnya, transaksi itu dianggap tidak sah dan haram kerana tergolong dalam riba al-nasi’ah, iaitu riba yang berlaku akibat penangguhan dalam penyerahan."
Bagaimanapun, caj perkhidmatan dibenarkan sekiranya individu tersebut hanya bertindak sebagai wakil untuk menukar duit dengan pihak ketiga, dengan syarat kadar caj adalah jelas dan dipersetujui bersama.
“Jika seseorang itu hanya menjadi wakil bagi mendapatkan wang pecahan daripada pihak lain, maka upah perkhidmatan dibolehkan kerana ia merupakan bayaran atas khidmat, bukan pertukaran wang dengan tambahan,” menurut penjelasan itu.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam menggunakan perkhidmatan tukar duit raya bagi mengelakkan terlibat dengan unsur riba yang ditegah dalam Islam.