KUALA LUMPUR: Perkhidmatan e-Rayuan Pungutan Cukai Pegangan kini boleh diakses secara dalam talian melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut kenyataan LHDN hari ini, pembayar cukai boleh mengemukakan permohonan rayuan atau pertanyaan melalui peranan individu, manakala pengarah syarikat pula boleh berbuat demikian melalui peranan pengarah atau melantik wakil pengarah bagi tujuan berkenaan.
Advertisement
Menurut LHDN, pembayar cukai boleh melayari MyTax dengan mengklik menu daftar masuk dan memilih peranan individu/ pengarah/ wakil pengarah, perkhidmatan ezHasil, eRayuan, e-Rayuan pungutan dan seterusnya cukai pegangan (WHT) atau merujuk manual pengguan e-Rayuan Pungutan dengan log masuk ke portal MyTax.
"Pembayar cukai boleh mengemukakan rayuan, permohonan serta pertanyaan dengan lebih mudah dan pantas berbanding kaedah sebelum ini yang dikendalikan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan.
"Perkhidmatan ini merangkumi pelbagai urusan termasuk permohonan pelarasan bayaran, hapus kenaikan, pengecualian, bayaran balik serta pengemukaan pertanyaan berkaitan cukai pegangan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, LHDN memberitahu pembayar cukai juga boleh membuat semakan status permohonan pada bila-bila masa, sekali gus memberikan pengalaman lebih telus dan mesra pelanggan.
"Langkah ini mencerminkan komitmen LHDN dalam memperluas perkhidmatan secara dalam talian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses manual serta meningkatkan kecekapan penyampaian," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA