Pemilihan calon PRU ke-13 masih dalam rundingan antara parti komponen BN dan akan diselesaikan beberapa hari lagi, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Belum selesai lagi. Kita akan umumkan dalam beberapa hari lagi.”

“Misalnya wanita minta supaya calon-calon mereka dipertimbangkan. Kadang-kadang sama ada nak pilih calon wanita , orang bahagian, atau pemuda, jadi ini semua adalah pertimbangan yang perlu kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan bersama Pengerusi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC di sini.

Najib berkata, kriteria calon boleh menang bakal menjadi pertimbangan utama BN iaitu kebolehan diri calon dan juga penerimaan pengundi di kawasan yang diwakili dalam PRU ke-13.

“Ada dua iaitu pada diri sendiri, secara peribadinya, maknanya kebolehan , ketokohannya, pengalamannya, dan track record dan sebagainya dan sama ada dia ada apa-apa masalah peribadi, itu satu aspek, “

“Kedua ialah orang itu mesti diterima di kawasan, serta kebolehan dan penerimaan, “ujarnya.

Pada masa sama katanya, calon BN yang kalah pada PRU lalu juga akan dipertimbangkan pada pilihan raya umum kali ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian dan kesungguhan calon tersebut.

“Sebab pada 2008 ada faktor nasional dan calon. Kalau calon itu walau kalah tapi kerja kuat serta diterima masyarakat, maka dia ada peluang, tapi kita tak kata semua tak boleh bertanding tapi kita tengok prospek pilihan raya kali ini,”katanya.

Tambahnya, BN juga akan berusaha mengatasi masalah ‘merajuk’ kalangan calon yang tidak terpilih untuk bertanding pada PRU ke-13.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengakui berlaku pertukaran satu atau dua kerusi melibatkan parti komponen BN.

Jelasnya, formula pengagihan kerusi dan senarai calon PRU 2008 akan dijadikan sebagai panduan pada pilihan raya kali ini.