Senarai calon-calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah muktamad dan tiada penukaran akan dilakukan.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun wujud beberapa individu dan kumpulan yang masih melobi serta mendesak pertukaran dilakukan, ia tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

“Melalui perbincangan saya bersama Presiden (Datuk Seri Najib Razak), memang ada desakan, namun sebagaimana saya nyatakan, nama-nama calon telah dimuktamadkan 100 peratus, dan watikah juga telah diserahkan kepada bakal-bakal calon.

“Ini adalah satu hakikat. Politik bukan hanya di kalangan calon-calon. Kepimpinan BN menghadapi masalah pemilihan calon. Kita memilih (calon) yang terbaik daripada yang baik-baik,” katanya pada sidang media selepas melakukan program ziarah di beberapa buah rumah di sini, hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesemua calon yang telah dipilih bersama jentera masing-masing perlu mengadakan usaha serius mendekati ahli-ahli yang kecewa kerana tidak terpilih.

“Kita bukan hanya mahu mereka bekerja keras memenangkan kerusi yang mereka wakili, tetapi pada waktu sama, kita perlu ketahui, ramai lagi yang mengharapkan untuk dapat tempat dan ramai penyokong-penyokong yang mengharapkan calon-calon mereka dipilih.

“Usaha-usaha untuk mendekati mereka yang tidak dicalonkan itu perlu dilakukan. Jangan ada perasaan untuk merendahkan, apatah lagi melakukan sesuatu yang negatif terhadap mereka yang tidak berjaya atau tidak disambung sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” ujar beliau.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk turut memberi peringatan bahawa sekiranya terdapat mana-mana ahli BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 nanti, keahlian mereka akan terbatal secara automatik.