KUALA LUMPUR: Campur tangan ahli politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa berlaku sejak dahulu sehingga mengganggu operasi perkhidmatan pasukan itu.

Malah, ada dalam kalangan ahli politik cuba mengawal pihak berkuasa dengan mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai operasi tanpa pengetahuan Ketua Polis Negara.

Memetik laporan Mingguan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa, tindakan pihak tertentu mengawal PDRM masih berterusan sehingga boleh menjadikan institusi berkenaan hilang taring.

Katanya, ketika beliau menerajui PDRM ada ahli politik yang mengarahkan pembebasan tanpa pengetahuannya.

Malah campur tangan politik tersebut pernah membabitkan operasi sehingga mengganggu proses siasatan.

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada Ketua Polis Negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa agar campur tangan politik dalam urusan PDRM dihentikan segera termasuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bukan daripada kalangan menteri.

Pendedahan itu dibuat pada sidang media terakhir Abdul Hamid sebelum menamatkan tugas secara rasmi, pada 3 Mei.

BACA: Sidang media terakhir Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara

BACA: SUARAM gesa Hamid Bador diberi lebih masa 'bersihkan' PDRM