KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya mencapai sasaran 100 peratus bagi kesemua 33 inisiatif yang ditetapkan pada 7 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kejayaan yang dicapai kementeriannya itu didorong usaha gigih setiap keluarga MOSTI dan agensi-agensi di bawahnya dalam mencapai setiap sasaran ditetapkan.

"Dengan pencapaian cemerlang ini, MOSTI komited untuk terus memperkasakan dan membudayakan sains, teknologi dan inovasi bagi jangka pendek dan jangka panjang, serta memastikan apa jua inisiatif yang
dilaksanakan sampai manfaatnya kepada Keluarga Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Tambah Dr Adham, MOSTI akan memberi fokus dalam beberapa aspek pada dua suku pertama tahun 2022 termasuk pelan hala tuju kecerdasan pintar.

"Bagi dua suku pertama tahun 2022, MOSTI akan memberi fokus antaranya bagi pelan hala tuju kecerdasan pintar, internet benda (IoT), pertanian pintar, kenderaan elektrik dan nanoteknologi, pengkomersialan teknologi dron serta inovasi sosial.

"Pada masa sama, MOSTI akan turut mempergiatkan lagi sokongan kepada ekosistem syarikat pemula tempatan. MOSTI juga komited untuk mendukung aspirasi dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk semua kementerian merancakkan aktiviti turun padang jelajah Keluarga Malaysia," jelasnya lagi.

Tambahnya, beliau yakin lebih banyak kisah kejayaan bakal dilakar atas usaha MOSTI dalam memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Kementerian itu juga jelasnya, merupakan medium penjanaan dan pemulihan ekonomi negara terutama ketika pasca pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, berkata kesemua insiatif itu berjaya dicapai pada 7 Disember lalu, manakala tiga prestasi utama Aspirasi Keluarga Malaysia berjaya dicapai lebih awal pada 15 November lalu.

"Tiga aspirasi tersebut ialah pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara; pembangunan ekosistem industri pemula (start-up) yang komprehensif; serta penginovasian sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi MyHackathon dan Malaysia Techlympics," jelasnya dalam kenyataan.