EDINSON Cavani memohon maaf atas imej yang dimuat naik ke media sosial bersifat menyinggung perasaan, namun Manchester United menegaskan pemain Uruguay itu tidak memiliki sebarang niat buruk untuk disampaikan.

Cavani menjadi pencetus kemenangan 3-2 United ke atas Southampton Ahad lalu, melakukan bantuan jaringan buat Bruno Fernandes dan meledak dua gol selepas hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian.

Dia turut menjadi menjadi pemain pertama sejak pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer, pada 1999 terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga gol bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi satu perlawanan selepas hadir sebagai pemain gantian.

Namun selepas tamat perlawanan, Cavani meletakkan dirinya dalam situasi sukar menerusi apa yang dimuat naik di Instagram -- yang dipadam selepas itu -- menyaksikan dia menggunakan perkataan Sepanyol itu boleh dianggap sensitif antara kaum kerana dia mengucapkan terima kasih kepada seorang rakan kerana memberi penghormatan kepadanya.

Persatuan Bolasepak England (FA) telah diberitahu dan mula meneliti perkara itu semalam, dengan penggantungan tidak terlepas daripada persoalan, tetapi Cavani telah memohon maaf selepas beberapa jam kemudian.

"Mesej yang telah saya muat naik selepas perlawanan dimaksudkan sebagai ucapan kepada rakan, mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah setelah tamat perlawanan.

"Perkara terakhir yang saya mahu lakukan adalah menyinggung perasaan sesiapa. Saya benar-benar menentang perkauman dan menghapus mesej tersebut sebaik sahaja dijelaskan bahawa ia dapat ditafsirkan secara berbeza.

"Saya ingin meminta maaf dengan tulus atas perkara ini."

Dalam kenyataan mereka sendiri, United menambah "Sudah jelas bagi kami bahawa sama sekali tidak ada niat jahat di sebalik mesej Edinson dan dia menghapusnya sebaik sahaja dia diberitahu bahawa ia boleh disalahertikan.

"Edinson telah meminta maaf atas kesalahan yang tidak disengajakan. Manchester United dan semua pemain kami komited sepenuhnya untuk memerangi perkauman."