KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 12 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerusi Program Bantuan Wasilah Ilmiah Fisabillah, iaitu Geran Penyelidikan.

Setiap IPT terbabit menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM120,000.

Menurut Pengerusinya, Datuk Baharom Embi geran penyelidikan yang diberikan adalah daripada agihan wakalah zakat CBP Fasa 1 dan Fasa II berjumlah RM512,000.

“Diharapkan dengan geran penyelidikan yang diberikan ini ia dapat membantu IPT-IPT yang terlibat untuk terus menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“insya-Allah, program-program seperti ini akan terus dilakukan di masa akan datang dengan lebih banyak IPT yang akan menerima geran penyelidikan seperti ini,” kata dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara IPT yang menerima geran penyelidikan daripada CBP adalah Politeknik Seberang Perai, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM).

Turut menerima geran tersebut adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan UNISHAMS.

Sementara itu, pada majlis sama CBP turut mengagihkan wakalah zakat kepada kira-kira 100 pelajar sekolah dan tiga buah masjid dengan agihan keseluruhan sebanyak RM75,000.

“Semoga dengan agihan wakalah zakat ini ianya akan membawa keberkatan kepada perniagaan CBP,” tambah Baharom.