MALAYSIA
CEAPAD perlu laksana tindakan konkrit untuk pemulihan Palestin - Penganalisis

Sani Araby berkata skala kemusnahan di Gaza menuntut tindak balas berani dan bersatu daripada negara-negara Asia Timur. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) yang akan datang perlu melangkaui sekadar isyarat simbolik dan memainkan peranan penting dalam penyelarasan serta pemulihan jangka panjang Palestin yang berdaya tahan masa hadapan, menurut penganalisis.
Mereka menjangkakan persidangan itu, yang bakal diadakan di Malaysia pada 11 Julai, untuk merangka langkah konkrit ke arah pembinaan semula yang mampan serta penghantaran bantuan yang berkesan, termasuk usaha perlindungan terhadap pembangunan masa depan daripada terus dimusnahkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata skala kemusnahan di Gaza menuntut tindak balas berani dan bersatu daripada negara-negara Asia Timur, lebih-lebih lagi ketika jumlah korban terus meningkat dan infrastruktur penting musnah sama sekali.
"Dalam konteks pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang kini mengorbankan lebih 56,000 nyawa serta memusnahkan infrastruktur asas secara besar-besaran, CEAPAD tidak boleh sekadar menjadi simbolik."Ia mesti menjadi titik tolak kepada pendekatan diplomasi pembangunan yang lebih tegas dan berdaya tahan untuk masa depan," katanya kepada Bernama.
Beliau menekankan keperluan melindungi projek pembinaan semula daripada serangan masa depan dengan memberikan status kekebalan diplomatik kepada infrastruktur utama, disokong oleh dokumen rasmi termasuk daripada ASEAN dan Liga Arab.
Sani turut menggesa negara-negara anggota CEAPAD yang berpengalaman dalam teknologi hijau, pembinaan modular dan pertanian pintar seperti Jepun, Korea Selatan dan Malaysia untuk bekerjasama membangunkan "zon pembinaan semula hijau" di Gaza yang memfokuskan kepada pembinaan infrastruktur kritikal termasuk sekolah, klinik dan ladang dengan penglibatan buruh tempatan secara kontrak.
Beliau berkata bahawa pembangunan modal insan juga perlu diberi perhatian dan negara anggota CEAPAD wajar menaja latihan serta biasiswa kepada sekurang-kurangnya 10,000 belia Palestin dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan, kesihatan awam, kejuruteraan dan pengurusan bencana.
"Kata kuncinya bukan sekadar kerjasama, tetapi penyelarasan melalui tindakan bersama. Negara anggota CEAPAD perlu bergerak melangkaui model usaha dua hala sebaliknya mewujudkan pelan induk bersama yang mempunyai pelaksanaan konkrit," katanya.
Penganjuran CEAPAD IV dilihat hadir pada waktu kritikal ketika Palestin terus berdepan serangan berterusan rejim Israel.
Sekatan bantuan secara menyeluruh oleh Israel sejak Mac lalu, di tengah-tengah kemusnahan meluas termasuk kemudahan kritikal, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu yang kini dianggap tidak lagi layak didiami oleh banyak pertubuhan hak asasi manusia.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dialog Asia-Timur Tengah (AMEC), Muslim Imran berkata CEAPAD perlu memimpin desakan antarabangsa bagi gencatan senjata serta mempertingkat tekanan terhadap Amerika Syarikat dan Israel untuk menghentikan serangan di Gaza.
"Negara-negara Asia Timur mempunyai pengaruh kolektif yang besar dan mereka boleh mendesak Amerika Syarikat mengubah pendekatannya terhadap situasi di Gaza.
"Walaupun masyarakat antarabangsa telah beberapa kali mengundi untuk gencatan senjata, Israel masih meneruskan serangan.
"Kuasa-kuasa CEAPAD seperti Jepun, Malaysia dan Indonesia perlu tampil memimpin desakan menghentikan perang ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Muslim, bantuan kemanusiaan juga perlu menjadi keutamaan CEAPAD, memandangkan sekatan dan pengeboman oleh Israel menyebabkan sistem penjagaan kesihatan runtuh, kebuluran serta kematian akibat kekurangan zat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
"Puluhan ribu rakyat Palestin masih memerlukan rawatan segera, namun disebabkan dasar Israel menyasarkan sektor perubatan termasuk doktor dan hospital, ramai yang dinafikan rawatan yang sepatutnya," katanya.
Bagi tempoh jangka panjang, Muslim menyeru negara anggota CEAPAD agar memainkan peranan lebih aktif dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula Palestin.
"Bagi pembinaan semula, negara-negara Asia Timur boleh bekerjasama secara langsung dengan agensi Palestin untuk menyokong sektor pendidikan, kesihatan, tenaga dan sosial. Namun tanpa gencatan senjata dan akses kemanusiaan segera, pembangunan tidak boleh dimulakan," tegasnya.
CEAPAD merupakan kerangka persidangan serantau yang dimulakan oleh Jepun pada 2013, bagi menghimpunkan negara-negara Asia Timur untuk menyokong usaha pembinaan negara Palestin berdasarkan sumber, kepakaran dan pengalaman pembangunan ekonomi negara anggota.
Negara anggota CEAPAD ketika ini terdiri daripada Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.
CEAPAD IV yang akan dipengerusikan bersama oleh Malaysia, Jepun dan Palestin bakal memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin serta penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh dan berkesan.
Ia akan berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan oleh Malaysia sempena Pengerusi ASEAN 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami