GOPENG: Perak memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan bagi menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa dalam usaha merancakkan ekonomi apabila mengunjungi negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata antara lokasi pelancongan yang terbaharu ialah Cengkerik Eco Park di sini yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik.

"Pelbagai aktiviti yang ditawarkan oleh pengusaha iaitu kayak, aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), 'petting zoo' dan juga aktiviti untuk kanak-kanak seperti 'Digital Library'," katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Kucing Jalanan di Taman Herba Gopeng di sini pada Ahad.

Beliau berkata Cengkerik Eco Park yang terletak di dalam Taman Herba merupakan ikon yang menjadi tambah nilai bagi aktiviti pelancongan yang terdapat di Gopeng khususnya dalam Geopark Lembah Kinta.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan sektor pelancongan di Perak susulan kes varian Omicron COVID-19 di negara ini, Nolee Ashilin berkata pihaknya mengambil pendekatan dalam segala aspek bagi memastikan keselamatan orang ramai.

"Satu kursus pemantapan dan pematuhan prosedur operasi standard juga dianjurkan dalam kalangan pengusaha pelancongan jadi diharapkan ia dapat diteruskan bagi mengelakkan penularan virus berbahaya ini," katanya.

Terdahulu, Nolee Ashilin berkata Festival Kucing Jalanan yang dianjurkan Meow Foodtruck merupakan inisiatif yang wajar diteruskan bagi membela nasib kucing jalanan seterusnya mensejahterakan ekosistem setempat.

"Pada hari ini saya dapat melihat pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan seperti pertandingan kucing kurang upaya, kucing berhias, kucing unik dan kucing makan paling laju walaupun kucing jalanan tetapi ia sangat menarik jika kita menguruskan kucing jalanan ini dengan baik.

"Justeru, saya memberi sokongan penuh kepada pihak Meow Foodtruck untuk terus menjalankan program-program yang berkaitan dalam memberi kesedaran kepada orang awam untuk menyantuni kucing-kucing jalanan," katanya.

Beliau berkata dalam keadaan pandemik COVID-19 serta bencana banjir, para penyelamat kucing jalanan diharapkan dapat memaksimumkan usaha dan memperluaskan hubungan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan supaya dapat membantu dan membela nasib kucing jalanan dalam skala yang lebih besar di negeri ini.

-- BERNAMA