KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che'gu Bard tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada jam 9.20 pagi Isnin, bagi menghadapi dua pertuduhan kes memfitnah dan menghasut, dengan mengaitkan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta isu KK Mart, baru-baru ini.

Badrul Hisham, 46, yang memakai baju Melayu berwarna hijau, dibawa oleh pihak polis ke mahkamah dalam keadaan bergari.

"Assalamualaikum, Selamat Hari Raya," kata ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu kepada pengamal media yang mengambil gambarnya di lobi mahkamah.

Pada Sabtu, peguam, Rafique Rashid yang mewakili Badrul Hisham berkata, Badrul kini ditahan reman dua hari bagi siasatan dikaitkan hantaran mengenai Kasino Forest City dilaporkan oleh media antarabangsa.

Menerusi hantaran Badrul di Facebook, beliau menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Dalam pada itu, ahli politik itu turut berterima kasih kepada agensi berita di Singapura dan satu lagi media luar negara kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum. - Sinar Harian