China menyatakan komitmennya untuk membantu Malaysia dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, Dewan Perniagaan dan Perindustrian China di Malaysia menggesa ahli-ahli mereka untuk menderma bekalan atau menyokong Malaysia bagi mengharungi pandemik ini.

Menurut beliau, komitmen itu sekali gus membuktikan jalinan persaudaraan yang kukuh antara dua negara di mana China membalas jasa baik Malaysia yang membantu republik tersebut dalam berdepan detik gelap pada sebulan yang lalu.

“Inilah masanya untuk menunjukkan perpaduan antara China dan Malaysia kerana kami (China) telah menerima sokongan daripada Malaysia apabila kami memerangi COVID-19 di China sebulan yang lalu.

“Kami telah menerima banyak sumbangan daripada kerajaan Malaysia. Oleh itu, kami gembira untuk membantu Malaysia kembali dan kami ingin menyokong Malaysia sepanjang usaha memerangi COVID-19 ini.

“Kami akan bersama-sama dengan Malaysia untuk memerangi wabak ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan bekalan perubatan kepada Ketua Setiausaha Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min di Pharmaniaga Logistics, Shah Alam pada Selasa.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian (kiri) menyerahkan sumbangan bekalan perubatan kepada Ketua Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min (kanan) di Pharmaniaga Logistics, Shah Alam pada Selasa.

Tian berkata, sumbangan berkenaan diberikan oleh China Communications Construction Laluan Rel Pantai Timur Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan mengandungi 3,000 penutup hidung dan mulut jenis N95, 2,000 penutup hidung dan mulut KN90, 20,000 topeng muka pembedahan dan 1,200 kaca mata perubatan.

Sumbangan berkenaan diberikan oleh China Communications Construction Laluan Rel Pantai Timur Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan mengandungi 3,000 penutup hidung dan mulut jenis N95, 2,000 penutup hidung dan mulut KN90, 20,000 topeng muka pembedahan dan 1,200 kaca mata perubatan.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan dan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran.

Ujarnya lagi, sejumlah 2,000 kit ujian sedang dalam proses penghantaran ke negara ini dalam beberapa hari ini.

“Saya teruja melihat CCC-ECRL bertindak secara proaktif dan menjadi barisan hadapan dalam menyahut seruan ini.

“Pada masa yang sama, kami dalam proses menganjurkan persidangan video antara pakar kesihatan antara Malaysia dan China, di mana kami menjemput pakar kesihatan yang mempunyai pengalaman merawat pesakit COVID-19 di Shanghai.

“Ia akan disertai pakar perubatan daripada 26 hospital negara ini. Jika ia berkesan, kami akan mengadakan persidangan video kedua supaya pakar kesihatan China boleh membantu Malaysia untuk mendiagnosis rawatan bagi memerangi COVID-19,” tambahnya.

Kata beliau, pakar perubatan dari China mungkin akan dihantar ke Malaysia bagi membantu mengawal penularan wabak tersebut.

Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan kerana banyak negara yang membuat permintaan yang sama.