GADGETS
China mulakan pembinaan superkomputer di angkasa lepas

Pada Ahad, 12 satelit pertama program Star Compute berjaya dilancarkan oleh ADA Space. - Foto Amanz
SUPERKOMPUTER terpantas dunia muka bumi ialah El Capitan yang terletak di Amerika Syarikat. Dengan halangan teknologi, ketuanan Amerika dalam dunia superkomputer sukar dipintas negara lain.
Oleh itu China berfikir di luar kotak dan sudah memulakan pembinaan superkomputer di angkasa lepas pertama dunia.
Semalam 12 satelit pertama program Star Compute berjaya dilancarkan oleh ADA Space.
Program yang turut melibatkan Zhijiang Laboratory dan Neijang High-Tech Zone ingin meletakkan 2800 satelit dengan kemampuan pemprosesan kecerdasan buatan (AI) yang diberikan nama Buruj Pengkomputeran Tiga Badan.Apabila beroperasi sepenuhnya, ia akan menjadi rangkaian superkomputer angkasa lepas dengan kemampuan memproses 1000 Peta operasi sesaat (POP).
Setiap satelit juga mempunyai model AI dengan 8 bilion parameter dengan sambungan 100Gbps menggunakan laser.
Menerusi sambungan ini, storan 30 TB dikongsi oleh 12 satelit pertama untuk melakukan pemprosesan data di angkasa lepas.
Dengan superkomputer di angkasa lepas, data yang dikumpul akan diproses sendiri tanpa ia perlu dihantar dahulu ke bumi.
Antara masalah sedia ada ialah data yang dikumpul tidak dapat dihantar ke bumi dengan pantas kerana pelbagai faktor cuaca.
Ini turut mengurangkan keperluan pusat data di bumi sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga kerana satelit hanya memerlukan kuasa solar.
Suhu panas yang terhasil untuk memproses data juga disebarkan ke angkasa lepas dan bukannya atmosfera bumi.
Sumber: Space News
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami