SINTOK: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi melatih belia dan personel binaan dalam pelbagai tred (bidang) kemahiran pembinaan tahun ini.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, lebih 100 tred kemahiran pembinaan ditawarkan menerusi enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) di seluruh negara.

"CIDB terus memberi sokongan berterusan dalam melatih pekerja mahir binaan dengan memperuntukkan RM232 juta bagi tahun 2018 hingga 2023.

"Peruntukan ini semakin meningkat di mana RM55 juta diperuntukkan tahun ini dalam memastikan pekerja binaan mendapat latihan kompetensi yang sewajarnya dalam bidang kemahiran," katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Graduasi ABM dan CIDB Tech Wilayah Utara 2024 melibatkan seramai 200 pelatih termasuk 13 pelatih cemerlang yang diraikan pada majlis itu.

Mohd Zaid berkata, setakat ini lebih 80,000 pekerja mahir telah berjaya menamatkan latihan, sama ada di ABM atau CIDB Tech, dan memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang membolehkan mereka terus bekerja dalam industri pembinaan.

Menurut beliau, CIDB Malaysia menerusi ABM dan CIDB Tech menawarkan tajaan kepada belia tempatan untuk mengikuti latihan kemahiran pembinaan yang merangkumi jentera berat, kerja bangunan, kimpalan serta mekanikal dan elektrikal.

Beliau berkata, secara purata, kadar kebolehpasaran pelatih yang menamatkan latihan di dua pusat latihan CIDB itu kini mencapai 85 peratus dan terdapat tred yang mencapai 90 peratus kebolehpasaran khususnya dalam bidang minyak dan gas serta pendawaian.

"Itu adalah tred-tred yang berimpak tinggi...pelatih yang mengikutinya ada permintaan di pasaran kerja...ada antara mereka yang terus mendapat kerja walaupun belum menamatkan latihan mereka," katanya.

Sementara itu, alumni ABM, Muhammad Nurhasifi Yusof, 37, yang menerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan pada majlis semalam berkata, latihan di ABM membantunya meningkatkan kemahiran mengendalikan jentera berat sehingga berjaya membuka perniagaan sendiri.

"Saya menyertai ABM di bawah program belia tanpa sebarang pengetahuan berkaitan jentera berat. Kemudian saya pelajari dan guru juga banyak membantu dan bagi galakan sehingga saya berjaya membuka perniagaan sendiri dan memiliki beberapa buah jentera berat," katanya.

Seorang lagi penerima anugerah ikon itu, Muhammad Asri Abu Bakar, 33, yang kini bekerja sebagai pegawai keselamatan dan pemeriksa perancah dalam industri pembinaan, bersyukur mampu meraih pendapatan lumayan selepas mengikuti latihan di ABM.

"Bidang TVET memang boleh menjana pendapatan, cuma kita kena bersabar, terutama di peringkat awal mungkin susah sikit, tapi selepas itu insya-Allah ada banyak peluang yang boleh direbut seiring dengan kemahiran dimiliki," katanya. - BERNAMA