KUALA LUMPUR: Ungkapan “Cik Mah bukan sombong, Mak!” antara detik mencuit hati yang ditemukan semula dalam satu rakaman lama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama ibunya, sekali gus memperlihatkan sisi Allahyarham yang santai dan bersahaja.
Rakaman itu ditemukan dalam satu daripada 'folder' (fail) lama yang dikumpulkan wartawan yang berpangkalan di United Kingdom, Zaharah Othman, selepas melakukan kerja-kerja mengemas.
"Beberapa hari lalu, saya melakukan kerja-kerja mengemas. Ia dilakukan selepas pemergian menyedihkan Datuk V.L. Kandan, seorang rakan Kirkbyite yang telah berkongsi begitu banyak cerita dengan saya selama ini.
"Usaha meneliti bahan dan menulis penghormatan buat beliau ternyata sukar kerana bahan-bahan berkenaan bertaburan dalam pelbagai cakera keras.
"Jadi, saya mengumpulkan semua bahan berkaitan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan Tun Dr Siti Hasmah di satu tempat: lawatan, temu bual dan rakaman sejak 1987 dari London, Oxford, Cambridge, Budapest, Vienna, dan Malaysia.
"Sebahagian bahan tidak lagi dapat diperoleh selepas saya secara tidak sengaja menjatuhkan beberapa cakera keras; manakala sebahagian lagi masih tersimpan dalam pita Beta dan kaset MiniDV," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Katanya lagi, semua bahan berkaitan kedua-dua tokoh berkenaan akhirnya dihimpunkan dalam satu 'folder'.
Beliau berkata dirinya kemudian dikejutkan pada jam 6 pagi oleh Astro AWANI dengan berita sedih mengenai pemergian Allahyarham.
Kata Zaharah, kali terakhir mereka bertemu adalah pada sambutan ulang tahun kelahiran bersama di London, ulang tahun kelahiran ke-98 Allahyarham dan ke-99 Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Astro mahu mengadakan temu bual secara langsung. Dalam keadaan amat berdukacita, saya mendapati diri saya agar sukar menyusun kata-kata sepanjang temu bual itu.
"Kemudian, apabila keadaan fikiran saya lebih tenang, saya mula membuka 'folder-folder' berkenaan," ujar beliau.
Zaharah kemudian menemukan satu folder bertarikh Jun 2014, berkaitan rakaman Allahyarham yang bercerita mengenai zaman 'rempit' bersama Mahathir dan kemudiannya bersama Tok Penghulu.
Allahyarham menceritakan bagaimana dirinya dan ketua kampung terjatuh ke dalam sawah padi.
"Dengan suara yang lembut dan penuh keprihatinan, beliau bercerita mengenai minatnya membantu proses kelahiran bayi dan kegembiraan menyambut setiap bayi yang baru lahir dengan ucapan “Assalamualaikum”.
"Beliau turut bercerita mengenai persahabatannya dengan Tan Sri Dr Salma Ismail, wanita Melayu pertama yang menjadi doktor perubatan," katanya.
Katanya dalam satu lagi 'folder', Allahyarham dirakam dalam satu “perbualan” bersama arwah ibunya, selain berkongsi kisah zaman membesar dengan mendengar radio ketika pendudukan Jepun.
Zaharah menyifatkan rakaman itu sebagai sesuatu yang sangat mencuit hati.
“Saya menangis dan ketawa ketika menonton dan mendengar semula wanita yang ramai disifatkan sebagai Ibu Negara," tambahnya.
Beliau berkata, masih banyak cerita yang dikongsikan Allahyarham yang belum sempat diceritakannya.
“Tetapi ini hanyalah sedikit gambaran.”
“Al-Fatihah, Tun (Dr Siti Hasmah). Saya akan merindui pelukan Tun," kata Zaharah.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, semalam.