KUALA LUMPUR: Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd Fadli Mohamed Salleh diputuskan tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Perkara tersebut disahkan oleh Mohd Fadli sendiri menerusi Facebook live malam ini yang membacakan surat keputusan tindakan tatatertib daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Walau ramai sudah maklum, Alhamdulillah ketiga-tiga pertuduhan (saya didapati) tidak bersalah dan bebas daripada apa-apa tindakan (tatatertib),” katanya.

Mohd Fadli juga berharap tindakan susulan diambil berhubung perkara yang dibangkitkan beliau sebelum ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai surat daripada KPM bertarikh hari ini yang menggugurkan guru Matematik itu daripada semua pertuduhan dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

Mohd Fadli sebelum ini tular di media sosial selepas mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada KPM dipercayai kerana sering menegur berkaitan pelbagai isu persekolahan.

Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam perkara itu.